fbpx

Budak 10 tahun mati dihempap pokok 100 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan pokok jejawi yang tumbang lalu menimpa seorang kanak-kanak lelaki lalu menyebabkan mangsa maut serta-merta. – ThaiRath

BANGKOK – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dilaporkan terkorban selepas dihempap sebatang pokok jejawi berusia 100 tahun dalam insiden di sebuah wat di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, lapor laman berita Thaiger.

Dalam kejadian semalam, mangsa iaitu Kraiwit Ketwichit dilaporkan duduk berhampiran pokok itu untuk mengikuti pembelajaran secara online. 

Menurut saudara-mara  mangsa, Kraiwit pergi ke wat bersama neneknya untuk membantu melakukan kerja-kerja di sekitar wat tersebut. 

Pelajar gred lima itu duduk di bawah pokok manggis berhampiran pokok jejawi sambil menggunakan telefon pintar untuk mengikuti kelas secara online ketika ia tumbang dan menimpa mangsa. Budak lelaki itu meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Seorang sami yang menyaksikan kejadian itu, Phra Chaiyaphon Chayaphalo, 61, sedang duduk di luar pondok apabila dia mendengar bunyi pokok tumbang.

Dia terus menjerit kepada Kraiwit supaya beredar, namun kanak-kanak itu menoleh dengan riak keliru. Pada ketika itu, pokok tersebut tumbang dan terus menimpanya.

Kejadian hujan lebat dianggap menjadi punca pokok itu menyerap banyak air dan tumbang kerana menjadi terlalu berat. Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dikembalikan kepada keluarganya untuk upacara pengebumian. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI