fbpx

Sektor kesihatan Sri Lanka lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS kesihatan memegang sepanduk ketika mengadakan demonstrasi bagi membantah krisis ekonomi Sri Lanka di Colombo, 6 April lalu. - CNN

COLOMBO – Krisis ekonomi di Sri Lanka kini semakin memuncak apabila sektor kesihatan negara itu dilaporkan bergelut dengan masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan, sekali gus meningkatkan risiko kematian dalam kalangan pesakit kritikal, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Doktor-doktor negara itu terpaksa membasuh dan mengguna semula peralatan perubatan untuk merawat pesakit, bahkan ada yang terpaksa melakukan pembedahan menggunakan lampu daripada telefon bimbit.

Buat masa ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan sebarang kematian akibat situasi itu, namun pakar-pakar memberi amaran bahawa jumlah kematian akibat kemelut itu boleh melepasi angka kematian Covid-19 di Sri Lanka iaitu sebanyak 16,000 kes.

“Ini merupakan satu krisis. Kami tidak dapat meramalkan seberapa teruk keadaan ini akan berlaku, namun kami sedar bahawa krisis yang dihadapi negara ini akan semakin buruk,” kata Setiausaha Persatuan Farmaseutikal Negara, Athula Amarasena.

Berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Sri Lanka (SLMA), semua hospital di negara itu kekurangan ubat-ubatan kecemasan dan peralatan perubatan.

“Beberapa hospital kerajaan juga telah diarahkan untuk menangguhkan pembedahan-pembedahan rutin dan mengurangkan ujian makmal ekoran kekurangan bekalan ubat pelali dan reagen.

“Presiden Persatuan Perinatal Sri Lanka contohnya, telah mengarahkan hospital-hospital untuk mensteril dan menggunakan semula tiub endotrakeal yang digunakan untuk menyalurkan oksigen ke paru-paru bayi. 

“Ia disebabkan oleh masalah kekurangan tiub tersebut yang kini menjadi amat kritikal,” demikian menurut surat yang dihantar kepada Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, seorang doktor bedah bagi sebuah unit rawatan rapi (ICU) yang enggan dikenali memberitahu bahawa bekalan ubat-ubatan penting yang digunakan untuk merawat strok dan serangan jantung kini amat kritikal selain hospital tempat dia bertugas turut dipaksa menggunakan semula kateter.

Kateter merupakan tiub yang kebiasaannya dimasukkan ke dalam pundi kencing pesakit untuk menyalur keluar air kencing.

“Saya sedar bahawa tindakan itu membahayakan nyawa pesakit. Saya berasa putus asa dan tidak berdaya sama sekali. 

“Saya banyak menghabiskan masa dengan membasmi kuman pada peralatan sebelum ia digunakan semula. Ini amat bertentangan sama sekali dengan apa yang telah kami belajar serta praktikkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi doktor berkata, dia dan pasukannya mengalami masalah bekalan elektrik terputus ketika menjalankan pembedahan melibatkan jantung seorang kanak-kanak. 

Mereka tidak mempunyai pilihan sebaliknya meneruskan pembedahan dengan menggunakan lampu suluh daripada telefon bimbit sehingga tenaga elektrik kembali pulih.

“Walaupun terdapat dua telefon bimbit yang digunakan ketika itu, tidak mudah untuk kami melaksanakan prosedur pembedahan dengan keadaan cahaya seperti itu,” ujarnya.

Selain itu, sebuah hospital lain dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan ubat pelali, seterusnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pasukan perubatan sekiranya mereka terpaksa menjalankan pembedahan tanpa menggunakan ubat penahan sakit.

“Kami terpaksa membuat keputusan sukar beberapa hari ini, terutamanya di ICU seperti siapa yang perlu dibiarkan hidup dan siapa yang tidak dapat diselamatkan.

“Kami akan terus menerima pesakit baharu, namun tidak mempunyai cara untuk merawat mereka,” kata seorang doktor. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI