fbpx

Bell Ngasri, ‘ikon ponteng puasa’ beraya di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELL NGASRI

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, pasti watak pelakon dan juga pelawak, Bell Ngasri sebagai Barkoba dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang (18PDKP) menjadi sebutan kerana diingati sebagai ‘ikon’ ponteng puasa.

Bell sendiri secara peribadi mengakui sangat berterima kasih kepada arwah Mamat Khalid kerana mewujudkan satu watak khas untuknya sehingga melekat di hati penonton.

Meskipun watak Barkoba membawa sisi negatif iaitu seorang lelaki yang tidak berpuasa ketika bulan Ramadan, namun peranan itulah menjadi antara kenangan terindah antara dirinya dengan pengarah tersohor itu.

Ujar Bell atau nama lengkapnya Nasrizal Ngasri, 41, watak Barkoba dianggap sebagai satu penghargaan yang diberikan arwah kepadanya.

“Barkoba merupakan idea watak daripada arwah Mamat Khalid. Saya anggap watak tersebut sebagai satu penghargaan daripada beliau untuk saya.

“Sebenarnya bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada pelakon-pelakon lain bawah arahannya. Arwah tahu untuk sesuaikan watak kepada orang-orang tertentu,” jelasnya.

BIARPUN Barkoba popular kerana sisi negatif, namun Bell menganggap kewujudan watak itu merupakan satu kenangan manis bersama Allahyarham Mamat Khalid.

Pelakon bertubuh kecil itu turut berkongsi kisah sebenar apabila memberitahu bahawa dia sebenarnya tidak terlibat dalam dua trilogi Puasa (16 dan 17 Puasa) sebagai Nasri sebelum watak tersebut dikembangkan menjadi Barkoba dalam 18PDKP.

“Kalau ikutkan dalam 16 Puasa saya tidak berlakon. Hanya nasib. Tiba-tiba rezeki berpihak pada saya. Alhamdulillah.

“Cerita 16 Puasa hanya eksperimen. Ketika ditawarkan berlakon dalam telefilem tersebut, saya terima tetapi tidak boleh ambil masa lama kerana terikat dengan komitmen lain. Nak dijadikan cerita, akhirnya saya ‘tersangkut’ sama,” katanya.

Berkongsi sedikit kenangan bersama Allahyarham Mamat, Bell menyifatkan arwah sebagai seorang seniman berbakat yang tiada gantinya.

Lebih mengharukan, Bell berkata, arwah sendiri pernah memberitahu berasa sangat ceria jika bersamanya.

“Arwah pernah beritahu bahawa saya antara orang yang boleh menceriakannya. Saya rasa amat dihargai.

“Saya sendiri sudah mengenali arwah sejak kecil. Malah sebelum arwah belum bergelar seorang pengarah lagi. Saya rindu sebenarnya,” getus Bell sayu.

Menyentuh sedikit tentang persiapan menyambut Aidilfitri nanti, Bell berkongsi rasa teruja apabila buat pertama kali akan menyambut hari raya di Mekah.

Ujarnya, jika diikutkan perancangan asal, dia bersama isteri akan menyambut satu Syawal di tanah air usai mengerjakan ibadah umrah bermula 20 April ini.

“Saya bersama isteri akan berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah pada 20 April sehingga 1 Mei nanti. Tetapi demi memenuhi permintaan pelajar-pelajar Malaysia di sana, saya akan sambut Syawal bersama mereka di Mekah.

“Jadi saya akan berada di sana sehingga 6 Mei iaitu pada hari raya ketiga sebelum pulang ke Malaysia,” katanya yang terpaksa berhempas-pulas menghabiskan baki pekerjaan yang masih tersisa sebelum bertolak ke Tanah Suci pada Rabu ini.

Sementara itu, mencapai angka usia 40-an, Bell menadah tangan sebagai tanda syukur kerana masih diberi rezeki yang melimpah ruah sebagai pelakon sehingga hari ini.

Ujarnya, selagi diterima baik penonton, dia akan melakukan kerja tersebut (berlakon) dengan seikhlas hati untuk menghiburkan peminatnya.

“Kalau orang rasa okey dan seronok, saya buat sahajalah. Saya memang tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon kerana ini adalah jiwa saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI