fbpx
Fenomena ‘PK Battle’ di TikTok yang semakin menular dalam kalangan generasi muda ketika ini.

Sanggup ponteng sekolah gilakan trend ‘PK Battle’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Golongan muda semakin kemaruk dengan trend Player Knockout Battle atau dikenali ‘PK Battle’ di aplikasi TikTok sehingga ada yang sanggup ponteng sekolah selain menghabiskan wang semata-mata bagi membeli hadiah digital.

‘PK Battle’ merupakan permainan antara dua pengguna media sosial yang bersaing untuk memperoleh hadiah digital daripada penonton.

Bagi mereka yang kalah, individu itu akan menerima pelbagai hukuman antaranya menyapu muka dengan tepung, menjirus badan dengan air dan berlari di luar rumah pada waktu malam.

Seorang pegawai pemasaran, Aina Azli, 45, berkata, sikap anak sulungnya kini berubah gara-gara penangan trend ‘PK Battle’ yang disiarkan secara langsung, tidak kira waktu pagi dan lewat malam.

Dakwa Aina, anaknya yang berusia 16 tahun itu juga dilihat mula hilang tumpuan untuk mengulangkaji pelajaran sebaliknya banyak menghabiskan masa dengan mengikuti trend tersebut.

Kebanyakan yang mengikuti trend itu adalah dari negara jiran.

“Anak menjadi semakin kemaruk dengan penangan permainan di TikTok itu. Dia duduk seorang diri dan ada kalanya ke­tawa kuat-kuat sambil jari me­nunjukkan ke arah skrin telefon.

“Situasi menjadi bertambah parah apabila dia (anak) sanggup menunggu aktiviti permainan itu sehingga lewat pagi dan tidak ke sekolah,” katanya semalam.

Sementara itu, seorang ibu kepada lima anak dikenali Rohaida, 46, mendakwa, anaknya berusia 13 tahun sanggup menggunakan wang poket semata-mata untuk membeli hadiah digital kepada pemenang di platform tersebut.

“Dia gunakan duit sekolah yang diberi sebanyak RM10 sehari. Hadiah digital boleh dibeli se­rendah 35 sen dan RM4. Bayangkan, dalam seminggu dia boleh habiskan sehingga RM50 untuk membeli hadiah,” ujarnya.

Bapa kepada empat anak, Hakim Ismail, 42, berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disaran menyekat trend ‘PK Battle’ di TikTok, yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan mental anak-anak.

“Kami juga meminta kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat segera platform yang boleh menjejaskan emosi dan sikap pengguna media sosial itu,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis mengulangi gesaan terhadap pihak MCMC termasuk PDRM agar segera menyiasat platform yang kini dilihat sebagai satu medan pertaruhan yang kurang sihat.

Dakwanya, permainan PK Battle yang disiarkan secara langsung di TikTok itu bukan sahaja membuang masa malah mendorong tercetusnya masalah sosial termasuk jenayah peras ugut, buli dan eksploitasi seksual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN