JUTAAN ucapan takziah membanjiri laman media sosial sejak 7 April lalu selepas berita pemergian pencipta komik manga popular Jepun, Motoo Abiko tersebar luas.
Tidak kira dari benua manapun, masing-masing melahirkan rasa sedih atas kehilangan insan yang bertanggungjawab memperkenalkan siri animasi kucing pengembara masa popular, Doraemon kepada masyarakat. Tidak kurang juga yang berterima kasih atas karya agung itu kerana menceriakan zaman kanak-kanak mereka.
“Sungguh mendukacitakan. Doraemon sangat penting bagi saya sebagai seorang peminat anime dan pelukis manga. Fujiko Fujio merupakan inspirasi terbesar kerja-kerja saya,” ciap seorang netizen dari Brazil di Twitter.
Fujiko Fujio merujuk kepada dua individu yang bekerjasama untuk menulis dan menghasilkan komik Doraemon iaitu Abiko atau dikenali sebagai Fujiko A. Fujio dan Hiroshi Fujimoto atau Fujiko F. Fujio.
Setelah Fujimoto terlebih dahulu meninggal dunia pada tahun 1996, kini Abiko pula menghembuskan nafas terakhir sekali gus tiada lagi pencipta watak Doraemon di dunia ini.
Abiko meninggal dunia pada usia 88 tahun, namun punca kematiannya tidak dapat dipastikan setelah dia ditemui mati di luar rumahnya di Tokyo.
Doraemon, satu kartun animasi cukup terkenal terutama bagi mereka yang lahir sekitar era 1980-an dan 1990-an. Cerita berkisar pengembaraan seekor robot kucing tanpa telinga bernama Doraemon dari abad ke-22 untuk membantu seorang budak lelaki bernama Nobita itu sememangnya sudah tidak asing lagi.

Meskipun ia kartun rekaan semata-mata, namun Doraemon kaya dengan gaya penceritaan menarik, bermotivasi dan unsur-unsur lucu serta teladan yang diselitkan.
Menggamit memori, robot kucing yang ceria bersama rakan-rakan manusianya itu kekal sebagai kenangan zaman kanak-kanak ramai masyarakat dunia. Malah, ia dianggap sebagai salah satu manga paling popular sepanjang zaman dan ikon budaya Jepun sebenar.
Bukan sahaja Doraemon, Abiko bahkan berjaya mempopularkan beberapa lagi karya ciptaannya seperti Ninja Hattori-kun dan Kaibutsu-kun.
Malah, dengan hasil karya-karyanya itu jugalah Abiko dianugerahkan penghormatan tertinggi negara iaitu Order of the Rising Sun oleh kerajaan Jepun pada tahun 2008.
Lebih dikenali dengan nama pena Fujiko A. Fujio, figura ini sebenarnya mempunyai kisah hidup menarik yang jarang didedahkan kepada umum sepanjang hayatnya.
Merupakan anak lelaki sulung keluarga, Abiko dibesarkan dalam suasana penuh keagamaan. Bapanya merupakan seorang sami di sebuah kuil bersejarah di wilayah Toyama.
“Jika ayah masih hidup, tidak mungkin saya akan bergelar kartunis manga. Mungkin saya akan mengikut jejak langkah ayah dan menjadi seorang sami.
“Bagaimanapun, kematian beliau banyak mengubah hidup saya,” katanya memetik satu temu bual bersama akhbar tempatan beberapa tahun lalu
Bersahabat baik dengan Fujimoto sejak di bangku sekolah, Abiko mengambil keputusan untuk merantau ke Tokyo pada tahun 1954 bersama teman baiknya itu selepas menamatkan pengajian.
Mendiami sebuah apartmen dikenali sebagai Tokiwa-so di Shiinamachi, Tokyo, pada usia 20 tahun, di sinilah lokasi kedua-dua legenda itu memerah idea mencipta siri animasi popular itu.

Begitupun sebelum Abiko dan Fujimoto berganding menghasilkan manga sepenuh masa, Abiko bekerja di sebuah akhbar tempatan, Toyama Newspaper Company, manakala Fujimoto pula bekerja di sebuah kedai kek.
Di syarikat akhbar itu, Abiko dipertanggungjawab mengendalikan beberapa temu bual dan karikatur untuk terbitan sebelum dirinya membawa haluan sebagai mangaka (kartunis manga).
“Rakan-rakan di sekeliling banyak mempengaruhi siapa saya hari ini. Lebih-lebih lagi pada waktu itu bergelar mangaka dilihat sebagai satu pekerjaan yang tidak realistik dan tidak mempunyai masa hadapan seperti pekerjaan-pekerjaan popular lain.
“Tiada siapa yang tahu masa depan industri manga bagaimana, tetapi saya bersyukur kerana mempunyai rakan seperjuangan yang hebat.
“Merekalah aset saya. Hubungan kami penting bukan sahaja di tempat kerja, tetapi juga di luar tempat kerja, merekalah akan menemani saya bermain golf dan berhibur,” ujarnya.
Difahamkan pangsapuri kayu yang kini terkenal menempatkan nama orang-orang terbesar dalam manga. Di sana, Abiko tinggal dan bekerja bersama pencipta manga hebat yang lain seperti Shotaro Ishinomori yang merupakan pencipta animasi Kamen Rider dan Fujio Akatsuka, yang terkenal dengan komik kelakar seperti Osomatsu-kun.
Bagi Abiko, biarpun rakan-rakannya turut terlibat dalam industri yang sama, namun dia tidak menganggapnya sebagai satu bentuk persaingan.

Sebaliknya, ia dijadikan ruang untuk memperhalusi kemahiran yang dimiliki melalui persaingan yang sihat. Cuma yang membezakan mereka semua ialah Abiko gemar menghasilkan karya yang mempunyai maksud tersirat.
Bermula dengan menghasilkan siri manga berjudul Obake no Q-taro yang mengisahkan mengenai hantu nakal pada tahun 1964, Abiko kemudian berpasangan secara duo menghasilkan komik Doraemon bersama sahabat karibnya, Fujimoto dengan nama pena mereka berdua, Fujiko Fujio.
Doraemon pertama kali disiarkan sebagai siri manga pada Disember 1969. Bermula dengan komik yang menjadi fenomena luar biasa di Negara Matahari Terbit, Abiko berjaya mengadaptasikan kartun robot kucing pengembara masa itu kepada siri animasi pada tahun 1970.
Tatkala ditanya resipi kejayaan sepanjang lebih lima dekad berkecimpung dalam industri manga, Abiko berkata, dia hanya memegang kepada satu moto.
“Jangan sekali-kali menangguhkan apa yang boleh dilakukan hari ini sehingga ke hari esok. Segerakan apa yang boleh dilakukan.
“Pandangan optimis ini mungkin membantu saya meneruskan karier manga yang panjang,” tambahnya.
Walaupun sudah lama bergaul dengan Fujimoto dan terlibat dalam penghasilan Doraemon, Abiko bagaimanapun mengakui enggan terlalu obses dengan animasi hebat itu.
“Saya mengelak daripada membacanya sebagai langkah perlindungan. Saya risau jika dengan membacanya mampu mempengaruhi cara saya berfikir seterusnya isi penceritaan komik manga yang lain,” katanya.
Selepas ribuan siri manga dihasilkan bersama-sama, Abiko dan Fujimoto kemudian mengambil keputusan membawa haluan masing-masing yang mana Doraemon selepas itu diambil alih sepenuhnya oleh Fujimoto sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1996 akibat kegagalan hati.
Biarpun duo yang berjaya mempopularkan Doraemon telah meninggal dunia, namun pengaruh robot kucing pengembara masa ini terus kuat sehingga hari ini.
















