fbpx

Konsert mega tamatkan penantian 25 tahun U.K’s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS lebih dua dekad dalam industri, 2022 menjadi tahun keramat buat U.K’s apabila peluang menjayakan konsert mega akhirnya tercapai.

VOKALIS kumpulan U.K’s, Amir pernah berhasrat berundur dari dunia muzik disebabkan rasa kecewa kerana tidak sekalipun dia mendapat kepercayaan mengadakan konsert mega meski sudah 25 tahun mencipta nama dalam industri.

Katanya, mereka bukan tiada senarai lagu yang bagus malah turut dikenali hingga di Indonesia, namun seakan-akan dipinggirkan tanpa diketahui punca di sebalik situasi tersebut.

“Siapa yang tak terkilan kerana kalau tengok repertoir, kami punya senarai dendangan popular yang banyak. Malah sampai sekarang masih malar segar hingga diangkat ke medium TikTok.

“Bayangkan dalam tempoh 25 tahun tiada penganjur memberikan peluang sedangkan kami mampu beraksi dalam persembahan langsung sekali gus membuatkan saya pernah terdetik ingin bersara.

“Walaupun kerap buat persembahan solo dengan ‘minus one’, perasaan ingin muncul bersama rakan U.K’s yang lain sangat berbeza dan lebih bermakna apatah lagi untuk sebuah konsert,” katanya.

AMIR menjanjikan persembahan yang terbaik pada konsert U.K’s kelak.

Begitupun, penantian band yang popular sejak 1986 itu berakhir selepas Mac Training Centre Sdn. Bhd. bersama RCD Concepts Sdn. Bhd. sepakat menganjurkan Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun.

“Inilah yang kami tunggu-tunggu. Ternyata penantian lebih dua dekad berbaloi apabila kedua-dua buah syarikat ini membuka ruang untuk kami beraksi di pentas berprestij Istana Budaya selama dua malam bermula 17 Jun depan.

“Sudah pasti kami anggap ini sebagai pengiktirafan terhadap U.K’s secara peribadi dan membakar semangat sepanjang dua jam konsert berlangsung,” katanya lagi.

Selain Amir atau nama sebenarnya, Mohd. Azmir Muhammad Yusof, 53, Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun akan menyaksikan gabungan semula anggota asal termasuk Rozdenil Toni (Denil) selaku pemain gitar, Mohd. Saleh Mohd. Alias (Olley), pemain bass dan dram, Amiruddin Sharif (Amirul).

Mereka akan dibantu Mohd. Rafi Shafie dan Ahmad Firdaus Mahmud yang menjadi pengarah muzik serta Mus Satira atau Mustafa Kamal Ahmad sebagai gitaris undangan selain kumpulan Mohram.

Menurut Amir lagi, buat masa ini mereka sudah menyenarai pendek sekitar 30 buah lagu popular yang akan diperdengarkan pada malam konsert nanti selain membuat latihan di studio.

Cabaran pilih lagu

“Jika diikutkan banyak lagi lagu hit U.K’s yang meninggalkan memori kepada peminat tegar sehingga ada yang bercinta dan mendirikan rumah tangga kerana lagu-lagu kami.

“Jadi pemilihan seleksi untuk persembahan mega pada Jun nanti sangat mencabar memandangkan kami mempunyai banyak album serta dendangan popular.

“Apa pun kami akan pastikan setiap penonton yang datang tidak akan kecewa dan pulang dengan perasaan puas. Setiap satu akan diatur mengikut kesesuaian segmen.

“Sebagai pelengkap, U.K’s mengundang insan yang meletakkan band ini ke tahap sekarang yang juga banyak menghasilkan lagu popular kami iaitu komposer berpengalaman, Saari Amri,” tambah Amir.

PERSEMBAHAN Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun pada Jun depan berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan barisan anggota asal kumpulan itu.

Sepanjang karier, U.K’s pernah menghasilkan tujuh album studio iaitu Tinggal Irama (1989), Mencari (1992), Bisa Berbisa (1994), Tajam Menikam (1995), Panas

Berpanjangan (1996), Cuma Aku Yang Hidup (1997), Pijar Kasmaran (2000) serta lima album kompilasi.

Sementara itu, wakil penganjur, Samirah Hambali percaya mampu ‘menjual’ tiket U.K’s berdasarkan sambutan terhadap lagu mereka yang turut memancing perhatian pendengar muda terutama dalam TikTok.

“Pada awalnya kami mahu mengadakan sebuah program khas U.K’s untuk disiarkan dalam televisyen, namun selepas perbincangan bersama Mac Training, kami sepakat bawa sebuah persembahan mega ke pentas Istana Budaya.

“Diharapkan pada Jun nanti peminat Indonesia juga dapat ‘turun’ ke sini.

“Selain itu, kami juga merancang untuk buat merakamkan persembahan konsert mereka bagi ditayangkan di stesen televisyen negara jiran memandangkan U.K’s juga mempunyai ramai kelompok peminat di Indonesia,” katanya.

Tiket Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun dijual pada harga bermula RM111 hingga RM999 dan boleh didapati menerusi laman sesawang http://ilassptickets.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI