fbpx

Malaysia Airlines optimis prospek pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd. optimis berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pemulihan berdasarkan situasi pasaran selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, ini termasuk untuk menyamai paras prestasi sebelum pandemik pada tahun 2024 atau 2025, serta mencatatkan pulangan modal dan aliran kewangan positif menjelang 2023.

“Kami turut menyasarkan untuk menggandakan pendapatan daripada perniagaan sokongan seperti penjualan pakej pelancongan, makanan dan pemilihan tempat duduk menjelang tahun 2025.

“Kesemua pertumbuhan yang disasarkan ini turut bergantung kepada situasi pasaran selepas sempadan dibuka, namun kami kini berada di landasan yang tepat untuk mencapainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MAG dengan Kumpulan Sunway di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Izham Ismail, Pengarah Eksekutif Sunway Group, Sarena Cheah, Pengerusi Malaysia Airlines dan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Terdahulu, Izham dalam ucapannya berkata, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia telah melepasi paras 20 peratus daripada unjuran Kumpulan untuk tahun ini pada awal suku kedua 2022.

Tambahnya, kolaborasi bersama Sunway, yang telah pun dibincangkan bersama sejak setahun lalu melibatkan spektrum kerjasama yang luas dalam bidang penerbangan, hartanah, pendidikan, pelancongan perubatan dan hospitaliti.

“Kerjasama ini mencerminkan bagaimana organisasi dengan nilai dan matlamat yang sama boleh membuka jalan ke arah memacu industri serta pemulihan ekonomi,” katanya.

Melalui kerjasama berkenaan, Malaysia Airlines dilantik sebagai syarikat penerbangan pilihan Sunway, manakala Sunway akan memanfaatkan peluang baharu melalui cabang operasi pelancongan MAG iaitu MHholidays; program pelancongan pelajar digital, MHexplorer  dan program ganjaran kesetiaan Enrich. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI