fbpx

Peminat tumpang gembira isteri Hafiz Suip berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZ berkongsi kegembiraan dengan perubahan imej isteri tercinta, Effy yang kini berhijab.

PETALING JAYA – Mengambil berkat hari kesembilan Ramadan semalam, penyanyi Hafiz Suip berkongsi berita gembira apabila isterinya kini berhijab.

Perkara tersebut dikongsikan Hafiz menerusi hantaran dalam Instagram semalam dengan berkongsi foto swafoto bersama isteri, Nureffy Jesreel yang manis mengenakan tudung bercorak keemasan dan hitam.

Hafiz atau nama lengkapnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 32, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila melihat penampilan baharu cinta hatinya.

“Ya Allah, semangat aku nak selfie dengan bini aku Ya Allah. Semoga hidayat ke seluruh alam, amin ya rabbal alamin. Cantik,” tulisnya bahagia.

Perkongsian pelantun lagu Kisah Cinta Kita itu menuai pujian dan doa daripada peminat termasuk rakan selebriti yang mendoakan agar Effy kekal istiqamah.

Turut menitipkan doa atas perubahan positif isteri penyanyi itu adalah pendakwah terkenal iaitu Ustaz Abdullah Khairi.

“Hidup dalam beragama. Rezeki pada ketenangan. Jangan risau pada hidup, tapi risau pada selepas mati,” tulisnya penuh makna.

Sebelum ini, Hafiz pernah menarik perhatian peminat selepas memuat naik hantaran dalam Instagram apabila memohon maaf atas segala kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Lebih mengejutkan apabila dia turut berkongsi gambarnya yang terkini dalam keadaan kurus sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Pun begitu, imej dan penampilan Hafiz yang kini berubah apabila sering mengenakan jubah dan berkopiah turut meraih perhatian peminat termasuklah rakaman video ketika dia membuat persembahan di sebuah restoran baru-baru ini.

Untuk rekod, Hafiz dan Effy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 di kediaman pengantin perempuan di Taman Matang Jaya, Kuching, Sarawak.

Pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 5, dan Muhammad Alkaf Zayne, 2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI