fbpx

Pasangan kekasih buat maksiat dalam kereta rempuh MPV polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan MPV polis (kanan) yang remuk selepas dirempuh Myvi (kiri) yang dinaiki pasangan kekasih di belakang sebuah premis di Jalan Humaira, Tanah Merah semalam. /FOTO IHSAN POLIS

TANAH MERAH – Seorang lelaki dan kekasihnya dicekup selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta peronda (MPV) semasa polis sedang membuat pemeriksaan apabila mendapati mereka sedang berdua-duaan di belakang sebuah premis di Jalan Humaira di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki berusia 20 tahun dan teman wanitanya 22 tahun berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superitendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, melihat kepada keadaan itu, anggota polis yang sedang membuat rondaan dengan menaiki MPV terus memeriksa kereta tersebut.

Menurutnya, semasa anggota polis turun dari MPV dan menghampiri kereta itu, pemandunya telah bertindak memecut laju sebelum merempuh bahagian pintu depan kiri kereta polis.

“Anggota polis terus mengejar kereta suspek yang telah merempuh tiga buah kereta lain di tepi jalan sebelum hilang kawalan semasa tiba di sebuah stesen minyak di Gertak Chaber di sini. Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara sebelum kedua-dua suspek ditahan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki tersebut cuba merempuh kenderaan MPV untuk melarikan diri selepas terkejut melihat anggota polis yang mahu membuat pemeriksaan semasa dia bersama teman wanitanya berada di dalam kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pasangan kekasih itu mengaku mereka baru sahaja sebulan berkenalan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

Ujarnya, lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari manakala kekasihnya tiga hari masing-masing bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI