fbpx
TENTERA AS mengambil bahagian dalam latihan Garuda Shield 2021 di wilayah Sumatera Selatan pada 4 Ogos 2021. - CNN

14 negara sertai latihan ketenteraan Indonesia-AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Tentera Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) akan memperluaskan latihan ketenteraan dua hala tahunan dengan penglibatan 14 negara lain yang dijangka turut mengambil bahagian, lapor stesen penyiaran CNN, kelmarin. 

Menurut kenyataan Tentera Nasional Indonesia pada Khamis lalu, latihan Garuda Shield 2022 yang akan berlangsung dari 1 hingga 14 Ogos depan bakal disertai oleh pasukan dari beberapa negara termasuk Britain, Australia, Jepun, Malaysia, Singapura dan Kanada. 

“Program edisi ke-16 itu akan merangkumi latihan termasuk tembakan langsung, operasi khas dan komponen penerbangan,” kata kenyataan tersebut.

Perluasan latihan pada kali ini dilakukan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di rantau itu dengan penganalisis berkata bahawa langkah tersebut menandakan Indonesia telah bergerak lebih ‘dekat’ dengan AS dalam kerjasama ketenteraan berbanding China.

Garuda Shield yang diadakan tahun lalu melibatkan dua divisyen tentera AS iaitu kira-kira 1,000 anggota termasuk rakan sejawat mereka di Indonesia dalam apa yang dikatakan Washington sebagai edisi terbesar ‘permainan perang’ setakat ini.

“Latihan bersama Garuda Shield selama dua minggu terus mengukuhkan Perkongsian Pertahanan Utama AS-Indonesia dan memajukan kerjasama dalam menyokong wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” demikian kenyataan tentera AS sebelum latihan tahun lalu.

Indonesia bagaimanapun tidak memberikan anggaran berapa jumlah tentera dari setiap 14 negara yang akan menyertai latihan pada tahun ini. – Agensi

POPULAR