Semasa solat, sering berlaku saya sujud atas telekung. Baru-baru ini ada video menyatakan solat atas telekung tidak sah. Benarkah hal tersebut?
Jawapan:
Sebelum saya menjawab, perlu diketahui, telekung bukan syarat sah solat bagi seorang wanita. Apa yang menjadi syarat adalah menutup aurat semasa solat, tidak semestinya memakai telekung.
Adapun hukum sujud atas kain atau benda yang bersambungan dengan diri orang bersolat itu, para ulama (khilaf) berbeza pendapat tentang hal ini.
Pendapat pertama: Tidak sah sujud atas kain atau apa-apa bahan yang bersambungan dengan diri orang sedang solat jika kain atau bahan itu turut bergerak bersamanya.
Ini seperti kopiah, balutan serban, ridak di bahu, jubah, tudung dan seumpamanya. Pada pandangan mereka, jika itu berlaku, bererti seseorang tidak sujud atas tempat sujud sebaliknya terhalang dengan benda yang ada pada badannya. Ini merupakan pendapat dalam Mazhab al-Syafii. Ia merupakan pendapat minoriti.
Dalam kitab al-Umm, al-Imam Syafii menyebut:“Jika seseorang sujud dengan dahinya, sedangkan ada perantara kain atau selainnya, maka sujudnya tidak sah untuknya, kecuali jika dia luka, maka itu satu keuzuran. Jika dia sujud atas kain terkoyak, lalu sedikit daripada dahinya menyentuh bumi (tempat sujud), itu sah untuknya kerana dia sujud dan ada bahagian dahinya menyentuh bumi (tempat sujud)”. (Kitab al-Umm, 1/323-
324. Beirut: Dar al-Ihya al-Turath al- ‘Arabi). Ini pegangan Mazhab al-Syafii.
Dalam Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i disebutkan: “Disyaratkan seseorang itu tidak sujud atas kain yang bersambungan dengannya. Ini seperti bahagian tangan bajunya yang panjang atau serban yang mana jika ia turut bergerak bersama pergerakannya semasa berdiri dan duduk.
Ini seperti lembaran kain yang ada atas bahunya. Jika sengaja melakukan hal itu, maka batal solatnya. Jika dia melakukan kerana lupa atau jahil, tidak batal, tapi diulang semula sujud itu.
Namun, jika kain itu bersambungan dengannya, tetapi tidak bergerak dengan pergerakan, maka ia dibolehkan.
Demikian juga segala yang terputus (tidak bersambungan) daripadanya seperti tongkat di tangan, maka tidak mencacatkan jika sujud atasnya. Jika dia sujud atas balutan luka disebabkan darurat atau kepayahan untuk mengelakkannya, maka sah sujudnya. Maka (keadaan) ini lebih wajar (untuk tidak wajib ulang)”. (al-Zuhaili, Al- Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i,1/281. Damsyik: Dar al-Qalam).
Pendapat Kedua: Tidak batal sujud atas kain atau benda bersambungan dengan diri orang bersolat. Ini pendapat jumhur ulama. Cuma, kalangan mereka menyatakan, perbuatan itu makruh jika tiada sebab munasabah seperti kerana tempat sujud itu panas, sejuk atau tidak selesa atau seumpamanya. Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) dalam al-Mughni: “Berkata al-Qadi (Abu Ya’la al-Farraa), jika seseorang sujud atas balutan serban atau tangan bajunya, atau hujung kain, maka solat itu sah.Riwayat hanya satu (pandangan al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam hal ini). Ia juga pendapat Mazhab Malik dan Abu Hanifah.
Antara mereka yang juga memberi kelonggaran sujud atas kain semasa panas dan sejuk ialah ‘Ataa, Tawus, al-Nakha’i, al-Sya’bi, al- ‘Auza’I, Malik, Ishaq dan tokoh-tokoh al-rakyu (aliran mengutamakan qiyas).
Turut berpendapat kelonggaran sujud atas balutan serban ialah al-Hasan (al-Basri), Makhul dan ‘Abd al-Rahman bin Yazid. Syuraih pula sujud atas burnus (kopiah panjang dipakai)”. (2/196. Kaherah: Hijr).
Alasan jumhur ulama bagi pendapat ini ialah hadis Anas bin Malik: “Kami solat bersama Nabi s.a.w pada waktu sangat panas. Apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan muka atas tanah, maka dia bentangkan kainnya, lalu sujud atasnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis ini: “Perkataan Nabi s.a.w “apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan muka atas tanah, maka dia bentangkan kainnya, lalu sujud atasnya” itu menjadi dalil bagi membolehkan sujud atas bahagian kain bersambungan dengan orang bersolat.
Inilah pendapat Abu Hanifah dan jumhur (majoriti) ulama. Dia mentakwilkan hadis ini dan mengandaikan sujud atas kain yang terpisah”. (Syarah Sahih Muslim, 5/121.Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabi).
Para ulama seperti al-Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyatakan, lafaz ‘kainnya’ memberi maksud kain yang ada di tubuhnya. Dari segi lafaz ia selari dengan ayat selepas itu ‘lalu sujud atasnya’. Dari segi luar lafaz pula, pada zaman itu mereka tidak mempunyai banyak kain yang dibawa ke sana-sini. (lihat: al-Syaukani, Nil al-Autar, 2/301. Kaherah: Dar al-Hadith).
Oleh kerana dalam hadis itu ‘apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan muka atas tanah’, ia memberi maksud para sahabat tidak melakukan hal itu melainkan jika ada keperluan. Sebahagian ulama seperti al-Syeikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin menyatakan, makruh sujud atas kain bersambungan dengan orang bersolat jika tiada keperluan berbuat demikian. (lihat: al-Uthaimin, al-Syarh al-Mumti’, 1/527. Kaherah: Dar Ibn al-Jauzi).
Kesimpulannya, sujud atas kain atau bahan yang bersambungan serta bergerak bersama dengan orang yang bersolat itu tidak membatalkan solat di sisi majoriti ulama. Cuma, dalam kalangan majoriti yang memegang pendapat ini menganggap makruh jika tiada keperluan berbuat demikian.
Adapun Mazhab al- Syafii menganggap tidak sah sujud sebegitu melainkan jika disebabkan balutan kecederaan.














