Antara sumbangan makanan berbuka puasa yang terbiar begitu sahaja di kaki lima di sekitar ibu negara.

Longgok juadah, seorang gelandangan dapat 15 bungkus makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sikap terlalu pemurah ramai badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan ad hoc sehingga berlumba-lumba menghulurkan makanan kepada hampir 1,000 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur pada bulan Ramadan telah mengundang pembaziran.

Walaupun setiap Ramadan menjadi ‘bulan syurga makanan’’ buat golongan itu, namun akhir­nya sebahagian besar sumba­ngan juadah berbuka puasa itu ditinggalkan sahaja di kaki lima premis perniagaan dan bahu jalan sehingga bertukar menjadi sampah sarap.

Antara lokasi tumpuan pemberian sumbangan makanan kepada gelandangan seperti di kawasan Chow Kit, Masjid Negara, Pudu, Pasar Seni dan Jalan Petaling.

Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, setiap hari kira-kira 20 NGO dan kumpulan ad hoc menghantar pek makanan kepada gelandangan di sekitar pusat bandar raya sejak Ramadan bermula.

Menurutnya, antara makanan yang sering disumbangkan se­perti nasi goreng, nasi ayam, nasi beriani, bubur, bihun dan mi goreng serta burger.

“Setiap kali Ramadan, banyak kumpulan ad hoc akan muncul untuk menyalurkan sumbangan selain NGO. Orang perseorangan pun ramai termasuk peniaga bazar Ramadan yang memberi makanan yang tidak habis dijual kepada gelandangan.

“Golongan ini tidak akan tolak pemberian itu. Mereka akan ambil sahaja semuanya dan apabila tidak mampu habiskan, mereka tinggalkan saja di kaki lima dan bahu jalan,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

Mohd. Ashraff Khan memberitahu, berdasarkan tinjauan pihaknya, setiap gelandangan dianggarkan menerima kira-kira 15 bungkus makanan untuk berbuka puasa setiap malam.

“Kalau macam ini, gelanda­ngan di ibu negara boleh mati terlebih makan, bukannya mati akibat tidak cukup makan,” ujarnya.

Katanya, beliau pernah menasihati kumpulan terbabit supaya mengagihkan makanan itu kepada golongan lain yang turut memerlukan seperti penduduk miskin bandar termasuk yang menghuni di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Bagaimanapun, katanya, nasihat beliau itu dipandang sepi dan wakil kumpulan terbabit membalas dengan jawapan yang kurang menyenangkan.

“Hendak buat kebaikan sepanjang bulan Ramadan, tetapi akhirnya jadi pembaziran apabila makanan terbuang begitu sahaja.

“Kalau mahu beri makanan, lebih baik juga melalui pusat transit gelandangan atau pihak berwajib kerana agihan itu akan lebih tersusun dan teratur.

“Jika makanan tidak habis, ia akan dihantar kepada golongan lain yang memerlukan termasuk di rumah-rumah kongsi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN