fbpx
Husin menunjukkan permit teksi yang telah tamat tempoh dan perlu diperbaharui bagi membolehkan dia membawa penumpang ke Singapura di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru semalam. – RAJA JAAFAR ALI

‘Kami tak boleh cari rezeki di Singapura’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kira-kira 200 pemandu teksi bagi laluan Johor Bahru-Singapura kini berdepan masalah untuk beroperasi semula walaupun sempadan bagi kedua-dua negara telah dibuka sejak 1 April lalu.

Antara masalah yang dihadapi termasuklah isu permit teksi ke Singapura yang telah lama tamat dan gagal diperbaharui ekoran penutupan sempadan kedua-dua negara sebelum ini.

Seorang pemandu teksi, Husin Mat Ali, 69, berkata, dia sebenarnya cukup bersyukur apabila sempadan dibuka kembali bagi kemudahan rakyat kedua-dua negara, namun teksinya pula tidak dapat beroperasi untuk membawa penumpang ke seberang tambak.

“Permit perkhidmatan bagi kesemua pemandu teksi laluan Johor Bahru-Singapura telah tamat sejak Mei 2020 sebaik sempadan ditutup ekoran Covid-19.

“Jadi, kami tidak dapat memperbaharui permit yang diuruskan oleh syarikat sehinggalah sempadan dibuka pada 1 April. Kami harap pihak kerajaan dapat membantu bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui di Terminal Larkin Sentral di sini semalam.

Menurut Husin, bayaran permit yang dikenakan untuk setengah tahun ialah SGD12 (RM37) dan perlu diperbaharui setiap enam bulan.

Selain itu, katanya, lesen pemandu PSV di Singapura juga perlu diperbaharui selain menambah nilai pas automatik tol.

Seorang lagi pemandu teksi, Reski Lamuha, 54, berharap agar kerajaan kedua-dua negara dapat membantu menyelesaikan masalah permit bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi.

“Hari ini saja pemandu teksi di sini terpaksa menolak lebih 20 penumpang yang hendak ke Singapura berikutan tarikh permit membawa teksi ke Singapura telah tamat tempoh sejak Mei 2020.

“Sekiranya permit dapat diperbaharui sudah tentu pendapatan pemandu teksi Johor Bahru-Singapura bertambah setelah dua tahun tidak ber­operasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN