fbpx

TNB hilang 4.5 bilion kWh tenaga elektrik angkara bitcoin haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baharin (kiri) ketika menyerahkan kenderaan pacuan empat roda kepada Acyrl Sani (tengah) di Bukit Aman pada 29 Mac lalu.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) kehilangan lebih 4.5 bilion kilowatt jam (kWh) tenaga elektrik akibat perbuatan mencuri elektrik oleh para pengusaha bitcoin sejak empat tahun lalu.

Lebih membimbangkan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, peningkatan kes kecurian itu meningkat lebih 400 peratus sejak tahun 2018 sehingga tahun lalu apabila sebanyak 7,209 kes dilaporkan.

Mengikut pecahan kes tahunan, Baharin berkata, pada tahun 2018 sebanyak 610 kes dilaporkan diikuti pada 2019 (1,043 kes), 2020 (2,465 kes) dan tahun lalu (3,091 kes).

Jelas beliau, peningkatan kes sejak 2018 ini juga membuktikan kecekapan semua agensi terlibat dalam mengesan perbuatan jenayah tersebut khususnya kerjasama strategik di antara TNB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai tahun 2020.

“Aktiviti perlombongan bitcoin yang mengambil bekalan elektrik secara curang bukan sahaja memberi impak kepada TNB, malah secara tidak langsung kepada rakyat dan negara.

“Selain boleh menyebabkan kerosakan dan kebakaran pada pepasangan TNB, aktiviti melombong Bitcoin ini memberi kesan kepada pengguna apabila bekalan elektrik terputus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, susulan peningkatan kes kecurian itu, TNB dan PDRM akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan meningkatkan keupayaan menggempur kegiatan mencuri arus elektrik terutama melibatkan aktiviti perlombongan mata wang kripto bitcoin.

Jelasnya, pada 29 Mac lalu, pihaknya telah bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan TNB telah menyumbang sembilan kenderaan pacuan empat roda bagi meningkatkan lagi kecekapan membanteras kegiatan berkenaan.

“TNB berterima kasih atas sokongan dan kerjasama pihak PDRM dalam membantu mengekang aktiviti jenayah ini di seluruh Semenanjung, seterusnya memastikan bekalan elektrik berdaya harap dapat terus dibekalkan tanpa gangguan kepada rakyat, industri dan komersial. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI