TAHUN 2022 menyaksikan syarikat-syarikat automotif di Malaysia sudah mula memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) untuk pasaran di negara ini.
Baru-baru ini bertempat di The Brick House, MAHSA, Petaling Jaya, Selangor, Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan XC40 Recharge Pure Electric yang merupakan model pertama EV jenama dari Sweden itu di negara ini.
Model tersebut menggunakan platform kenderaan utiliti sukan (SUV) premium bersaiz kecil. Pelancaran itu juga merupakan sebahagian usaha global Volvo bagi menjadi pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya pada tahun 2030.
XC40 Recharge Pure Electric dengan pacuan semua roda dan enjin elektrik berkembar ini juga merupakan model EV pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia.
Dua hari selepas majlis pelancaran itu, penulis telah dipelawa VCM untuk memandu uji jentera itu. Laluan pandu uji bermula dari The Saujana Club, Subang Jaya menuju ke Bentong, Pahang sebelum singgah makan di Janda Baik, mendaki tanah tinggi Genting Highlands dan pulang semula di The Saujana Club.
Perkara pertama yang menarik sebaik saja menaiki kenderaan ini ialah tiada butang penghidup enjin, sebaliknya pemandu hanya perlu membawa kunci dan duduk di kerusi, tekan pedal brek dan alihkan transmisi ke D atau R dan boleh terus bergerak.
Penulis agak kagum dengan teknologi ini kerana di tempat duduk pemandu terdapat sensor yang akan mengesan kehadiran pemandu yang membawa kunci untuk mengaktifkan sistem enjin kenderaan ini.
Sekiranya ingin mematikan enjin elektrik, pemandu hanya perlu menekan butang P dan keluar dari kenderaan, lalu enjin akan mati secara automatik. Namun, sekiranya pemandu ingin keluar sebentar dan ada penumpang di dalamnya, ubah tetapan supaya sistem seperti penghawa dingin terus berfungsi.
Bahagian dalaman EV ini tidak banyak perbezaan dengan varian XC40 lain, antaranya ialah sistem infotainment bersaiz 12.3 inci yang kini menggunakan sistem Google sangat mesra untuk dikendalikan.
Model ini juga tidak hadir dengan banyak butang kawalan kerana kebanyakan tetapan harus menggunakan sistem di skrin infotainment. Melalui sistem ini juga pemandu boleh merancang perjalanan dan berapa anggaran penggunaan bateri untuk ke lokasi yang dipilih.
Sekadar makluman, kenderaan ini juga tidak mempunyai brek tangan sama ada menggunakan butang atau tangan.
Pada bahagian tengah bumbung pula terdapat dua butang Emergency Call dan Call Button. Butang Emergency Call digunakan sekiranya kemalangan atau pemandu menghadapi situasi ancaman, manakala butang Call Button sekiranya pemandu inginkan bantuan tepi jalan sebagai contoh tayar pancit.
Bercerita pada bahagian luaran pula, sama seperti bahagian dalam, varian ini dibezakan daripada varian-varian lain menerusi tiga elemen mudah disedari iaitu jeriji hadapan, lambang RechargeTwin pada bahagian belakang dan tiada ekzos.
Sebaik saja ruang but hadapan dibuka pula, tersedia satu ruang simpanan.
Penulis difahamkan EV ini boleh bergerak sejauh 418 kilometer dengan satu cas penuh. Pada masa sama juga, penulis diberitahu dua motor elektrik ini mampu menjana kuasa maksimum 300kW atau 408hp dan tork tertinggi 660Nm. Sudah serupa macam sport car.
Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini juga mampu memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.9 saat.
Boleh bayangkan, anda memandu sebuah SUV comel tetapi mempunyai kuasa yang lebih hebat daripada sesetengah sport car.
Semasa pandu uji, kami yang memandu jentera ini juga mencuba satu lagi ciri menariknya iaitu pemanduan dengan satu pedal walaupun EV ini hadir dengan dua pedal iaitu pedal minyak dan brek.
Ciri ini membolehkan pemandu hanya mengawal satu pedal iaitu pedal minyak. Pijak pedal minyak itu untuk bergerak dan lepaskannya untuk berhenti. Pada mulanya saya berasa agak kekok tetapi sudahnya sampai ke Bentong, Pahang gunakannya. Saya suka.
Fungsi itu boleh ditetapkan dengan cara menekan di skrin sama ada memandu biasa (dua pedal) atau menggunakan satu pedal.
Penulis tidak nafikan, kuasa dan tork yang dihasilkan sewaktu mendaki dirasakan terlalu berkuasa dan mudah, cuma di kawasan selekoh perlu berhati-hati memandang ini sebuah SUV.
Sebenarnya ini bukanlah kereta elektrik pertama saya pandu uji tetapi saya menjadi teruja kerana pelbagai ciri menariknya termasuk jarak perjalanan yang agak jauh dan boleh mengurangkan rasa kebimbangan jarak (range anxiety).
Model ini sudah dilancarkan, namun pihak VCM dijadualkan mengumumkan harganya pada Isnin depan dengan pelanggan berminat boleh membuat tempahan secara online pada hari sama.
















