fbpx

Watak dera suami, Emma terbawa emosi panas baran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM drama Nusyuz Berkiblat Cinta, Emma membawakan watak seorang isteri yang mendera suami dan panas baran bernama Hawa.

PETALING JAYA – Aktres terkenal Emma Maembong mengakui terbawa-bawa karakter panas baran daripada watak lakonannya dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta sehingga pengurusnya turut terkena tempias emosi marahnya.

Akui Emma, memegang watak sebagai seorang wanita panas baran dan mendera suami sendiri bernama Hawa bukan satu perkara mudah untuk dilakukannya walaupun sudah 13 tahun bergelar anak seni.

“Setiap kali habis penggambaran, memang sukar juga nak reset fikiran sebab kadang-kadang terbawa-bawa emosi baran dan pengurus saya pula yang kena tempias kemarahan daripada watak tersebut.

“Jadi, untuk kawal emosi tersebut, saya perlu jadi kontra iaitu wanita yang ceria di set penggambaran,” katanya.

Emma berkata demikian pada sidang akhbar drama Nusyuz Berkiblat Cinta secara virtual semalam.

Tambahnya, dia juga mengakui watak Hawa membuatkan dirinya kurang meluangkan masa bersama keluarga selepas pulang dari penggambaran.

“Balik rumah memang rasa stres dan saya tak banyak habiskan masa bersama suami dan anak sebab terus tidur.

“Namun, itu tidak bermakna saya jadi isteri atau ibu panas baran, jangan risau saya tak dera atau pukul suami pun di rumah,” ujarnya lagi.

Kata pemilik nama penuh Fatimah Rohani Ismail, 30, itu, watak Hawa boleh dikira salah satu karakter paling mencabar yang ditawarkan kepadanya setakat ini.

“Sepanjang bergelar pelakon sejak 13 tahun lalu, ini karakter yang paling sukar untuk saya jiwai. Memang susah sangat nak menjiwainya pada peringkat awal.

“Bukan mudah untuk bertukar emosi lebih-lebih lagi watak ini memerlukan saya menjadi wanita panas baran dan melakukan penderaan fizikal terhadap suami sendiri. Impaknya lain macam,” katanya lagi.

Dia yang terkenal menerusi filem Kimchi Untuk Awak itu turut memberitahu sepanjang menjayakan watak Hawa, dia jarang meraih pujian daripada pengarah berbanding drama-drama lakonannya sebelum ini.

“Sebelum ini, saya mudah mendapat pujian daripada pengarah tetapi sebagai Hawa, banyak teguran diterima. Bagi saya benda itu bagus sebab membuktikan banyak lagi ilmu yang saya belajar.

Terdahulu, bakat lakonan Emma pernah dijulang dan meraih pujian ramai selepas muncul dalam drama Cemburu Seorang Perempuan sekitar 2019.

Sebagai info, Nusyuz Berkiblat Cinta arahan Hadith Omar turut dibarisi Fikry Ibrahim, Nadhir Nasar dan Shaza Bae. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI