fbpx
JIKA terasa diri dalam bahaya, seseorang isteri dibenarkan keluar dari rumah suaminya. – gambar hiasan

Isteri boleh lari jika keselamatan diri terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINTA penjelasan berkenaan hukum seorang isteri lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap suami panas baran yang sering melakukan kekasaran termasuk memukulnya?

Jawapan:
Seorang isteri tanpa sebab yang syar’i (diizinkan syarak) tidak boleh keluar dari rumah suami iaitu rumah kehidupan suami-isteri (bait al-zaujiyah) tanpa keizinan suami.
Para ulama telah memberikan banyak dalil syarak yang membuktikan hal ini.
Antaranya, hadis Nabi s.a.w: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam, maka izinkanlah mereka,” (Riwayat al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan wanita hendaklah meminta izin keluar rumah sekalipun ke masjid.
Dalam Fath al-Bari disebutkan: “Dijadikan hadis ini dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya kecuali dengan izin suami” (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 2/347. Beirut: Dar al-Ma’rifah).
Namun begitu, jika suami atau selain suami mengancam nyawa atau keselamatan seorang isteri jika dia terus berada dalam rumah tersebut, maka isteri boleh keluar meninggalkannya.
Begitu juga jika keadaan rumah itu terdedah kepada bahaya buat isteri, sama ada pada binaan atau persekitaran, maka isteri boleh keluar meninggalkan rumah tersebut.
Ini kerana, Allah berfirman dalam al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 195:(maksudnya) “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
Nabi s.a.w pula bersabda: “Tiada mudarat dan memudaratkan,” (Riwayat Malik, Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dll).
Antara maksud hadis ini adalah seseorang tidak boleh memudaratkan diri sendiri ataupun memudaratkan orang lain.
Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 974H): “…ataupun suami mengancam isteri dengan satu pukulan yang tidak sewajarnya, lalu dia (isteri) keluar kerana takut kepadanya. Maka keluarnya isteri ketika itu tidak dikira sebagai nusyuz disebabkan keuzuran tersebut. (Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj, 327. Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah).
Maka dengan itu, isteri boleh meninggalkan rumah suami apabila dia percaya dirinya terancam ataupun dalam keadaan bahaya jika terus berada di situ.
Ini termasuklah jika suaminya ganas, mencederakan atau mempunyai penyakit berbahaya seperti AIDS atau penyakit kelamin yang lain.
Ini termasuk juga suami terlibat dengan aktiviti yang berbahaya seperti dadah, jenayah dan seumpamanya.
Kesemua itu isteri boleh meninggalkan rumah perkahwinan suaminya.
Bahkan boleh sampai ke tahap wajib meninggalkan rumah sekiranya dia yakin jika dia terus berada di situ, akan ditimpa mudarat yang mengancam keselamatan dirinya.
Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi ( meninggal 456H) tentang larangan membiarkan diri dizalimi:
“Maka tiada syak dan tiada perbezaan pendapat kalangan Muslimin bahawa orang yang menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu dengan apa cara yang mungkin. Maka itu adalah merupakan pertolongan kepada orang yang menzaliminya bagi melakukan dosa dan permusuhan dan ini haram dengan nas al- Quran dan segala hadis yang kami telah sebut..” (Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al- Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji).
Dengan itu, isteri yang terancam keselamatannya jika terus berada di rumah suaminya boleh keluar menyelamatkan diri, bahkan dilarang membiarkan kezaliman ke atas dirinya, sedangkan dia mampu mengelaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN