fbpx

Episod hitam pengajaran buat Andi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDI BERNADEE

BIARPUN baru lima tahun berkarier dalam dunia penuh glamor, penyanyi dan pelakon Andi Bernadee telah pun merasai pahit manis seorang anak seni.

Pengalaman bergelut mencari identiti dan tapak untuk dikenali ramai, sehinggalah menghadapi episod mistik terkena ‘gangguan’ serta wang dilarikan orang yang dipercayai, menjadikan pemilik nama Andi Azrul Andi Mapangile lebih matang.

Pengalaman lalu juga menjadikan penyanyi asal Sabah itu seorang yang lebih berhati-hati dalam setiap tingkah-laku, termasuklah sentiasa berwaspada dengan orang sekeliling.

“Saya bersyukur. Dalam tempoh lima tahun, karier seni saya berada dalam keadaan seimbang, berbanding rakan-rakan seangkatan, ada yang sudah tidak tahu ke mana.

“Pengalaman-pengalaman perit itu juga memberi kesan kepada diri supaya lebih berwaspada dengan mengenali jenis-jenis orang. Saya tidak boleh pukul rata, semua orang ada niat tidak baik.

“Sebaliknya, pengalaman tersebut mengajar saya untuk mengenali jenis orang yang tidak baik. Jika terlihat perangai dan stail sama, saya akan memberi amaran kepada diri sendiri dan terus berhenti supaya perkara sama tidak berulang kembali,” ujar Andi.

Penyanyi lagu Donde yang baru pulih daripada gangguan mistik turut disoal tentang perkembangan kes pecah amanah individu yang membawa lari wangnya sebanyak RM70,000.

Kata Andi, dia telah pun melantik peguam dan kes berkenaan masih belum selesai.

SELEPAS mengharungi pelbagai dugaan termasuk ditipu kenalan terdekat, Andi kini lebih matang dan sentiasa berhati-hati dengan orang sekelilingnya.

“Kes tersebut belum selesai dan masih dalam siasatan polis. Saya sudah melantik peguam dan masih menunggu perkembangan terbaharu.

“Setakat hari ini masih belum ada tarikh perbicaraan. Saya berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” tutur Andi.

Tidak hanya berhati-hati dengan orang sekelilingnya, Andi juga dilihat mengambil sikap lebih tertutup dan tidak lantang seperti dahulu.

Setiap bait bicaranya disusun kemas, bimbang terlepas cakap barangkali.

Ditebak dengan sikapnya yang dilihat seperti mengambil jalan yang selamat berbanding dahulu, lebih terbuka dalam setiap bicara, Andi hanya ketawa.

“Saya bimbang terlepas cakap. Pengalaman lepas mengajar saya untuk berhati-hati dan berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Sebabnya, saya tidak tahu niat orang. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain,” luah Andi mohon difahami.

Karier

Beralih tentang perkembangan karier, selain momentum sebagai penyanyi kekal pada garis seimbang, Andi kini cemerlang sebagai pelakon dan pengacara.

Drama Melastik Ke Hatimu lakonannya bersama aktres popular Janna Nick mendapat sambutan hangat apabila meraih 10 juta tontonan sepanjang 13 episod bersiaran.

Tidak terhenti di situ, penglibatannya dalam program realiti, Master In The House kerjasama Primeworks Studios dengan SBS Korea juga melonjakkan popularitinya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan perjalanan seni dan percubaan dalam lakonan juga membuahkan hasil.

“Tahun lepas memang saya memberi fokus kepada lakonan, tahun ini misi saya adalah seimbangkan antara nyanyian, lakonan dan pengacaraan supaya semuanya bergerak seiring.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang saya akan kembali ke set penggambaran drama Melastik Ke Hatimu 2 pada Julai depan, selain terdapat tawaran pengacaraan,” ujar Andi.

KARIER lakonan Andi semakin mendapat tempat di hati peminat selepas sambutan hangat drama Melastik Ke Hatimu dan program realiti Master In The House Malaysia.

Berbicara tentang nyanyiannya, penyanyi yang bermula single balada Tiada Lagi Maaf pada 2017, kini cukup sinonim dengan genre raggaeton yang dianggap cukup serasi dengan dirinya.

Sejak mengubah haluan muziknya kepada raggaeton, single yang dihasilkan meraih populariti luar biasa seperti Satu Peluang, Donde dan Shimmy. Kekal dengan resepi muzik yang sama, Andi kini muncul dengan single terbaharunya berjudul Du nukilan sepenuhnya oleh komposer asal Singapura, Alyph.

Menurut penyanyi yang mencipta nama menerusi aplikasi Smule itu, perjalanan penghasilan lagu Du cukup berliku apabila sesi rakaman terpaksa dilakukan secara jarak jauh antara Malaysia dan Singapura akibat pandemik.

“Secara peribadi penghasilan lagu Du begitu banyak halangan dan cabaran.

“Sudahlah saya perlu menunggu lagu selama dua tahun, proses rakaman pula cukup mencabar kerana dilakukan antara dua buah negara Malaysia dan Singapura.

“Jadi, pembikinan lagu ini mengambil masa selama enam bulan. Bayangkan saya tidak dapat bersemuka dengan Alyph, sebaliknya kami hanya berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp,” ujar Andi ketika ditemui pada majlis pelancaran single Du di Bsynclive, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas lagu berjaya disiapkan, datang pula pelbagai masalah teknikal yang harus dihadapi, termasuklah pembikinan video muzik yang mengambil masa lama berbanding tempoh yang dirancang.

“Selepas lagu keluar ada pelbagai masalah teknikal termasuklah lirik video yang harus dipadamkan dan dimuat naik semula dalam YouTube. Video muzik yang dibikin pada Januari pula hanya disiapkan pada Mac kerana menggunakan banyak kesan khas.

“Jadi, saya sangat bersyukur apabila lagu ini akhirnya dapat bertemu peminat. Alhamdulillah, peminat juga memberi respons yang positif,” tutur Andi.

Bercakap lebih lanjut tentang lagu Du yang sebenarnya adalah singkatan kepada perkataan rindu. Sebelum memilih judul Du, Andi terlebih dahulu mahu menggunakan Du

Du Du, namun terdapat ramai penyanyi lain yang terlebih dahulu menggunakan judul berkenaan termasuklah kumpulan Blackpink.

“Asalnya saya hendak gunakan Du Du Du, tetapi sudah ramai pula penyanyi menggunakan judul berkenaan. Jadi, saya tukar kepada Du sahaja untuk elakkan kekeliruan,” kongsi Andi tentang lagu yang telah pun berada dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer sejak 11 Mac lalu.

ANDI teruja dan tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah selepas dua tahun tidak pulang kerana pandemik.

Imej

Menyentuh tentang imej yang sentiasa berubah pada setiap kemunculan single terbaharu, Andi harus berani menampilkan kelainan termasuk membawa gaya eksentrik untuk relevan dalam industri seni.

Malah menerusi video muzik Du, Andi tidak kekok bersolek aneh demi menjayakan watak mahkluk asing.

“Selain perlu menghidangkan sesuatu yang berbeza dan diingini peminat, saya juga perlu memuaskan hati sendiri ketika berkarya. Mengubah imej berbeza seperti mewarna rambut dan bersolek mengikut watak adalah sebahagian daripada cara saya berkarya,” kata Andi.

Tambah lelaki berusia 30 tahun itu, selain kerana tuntutan kerja ramai yang tidak tahu dia mewarnakan rambut kerana rambut asalnya kini berwarna putih atau beruban mengikut genetik bapanya.

“Saya memang suka buat benda yang orang tidak buat, mungkin ada rancangan untuk botakkan rambut.

“Sebabnya ramai yang tidak tahu saya miliki rambut beruban. Kalau nampak hitam adalah disebabkan saya warnakan rambut setiap minggu.

“Jika tidak memang nampaklah rambut warna putih, bapa saya pun miliki genetik yang sama rambut berwarna putih walaupun bukanlah tua sangat,” tutur Andi.

Sungguhpun memiliki rambut beruban, tidak sedikit pun perkara tersebut memberi kesan kepadanya secara peribadi, tetapi kepada kariernya sebagai selebriti.

“Saya akui saya tidak kisah berambut putih, bukan perkara yang pelik, tetapi memberi kesan kerana karier saya sebagai penyanyi dan pelakon.

MASIH kekal dengan genre raggaeton, Andi kini muncul dengan lagu berjudul Du.

“Kamera sekarang semuanya berkualiti HD (high definition), kadangkala ada peminat tegur, adakah saya sudah beruban?

“Jika berlakon dapat watak-watak muda tidak mungkinlah saya muncul dengan rambut beruban, jadi terpaksalah hitamkan rambut,” kongsi Andi.

Selain mengubah imej, Andi juga telah mengadakan siaran secara langsung selama 24 jam sempena pelancaran video muzik Du menerusi saluran YouTube Andi Bernadee pada 20 Mac lalu.

Siaran secara langsung tersebut membolehkan peminat menyaksikan kehidupan peribadi Andi, selain menjalani cabaran yang telah disediakan pihak Warner Music Malaysia.

“Idea untuk siaran langsung 24 jam itu datangnya daripada saya dan segala persiapan serta cabaran disediakan oleh Warner Music Malaysia.

“Bagi saya ini satu kelainan yang dapat mendekatkan diri saya dengan peminat pada musim pandemik ini.

“Jika sebelum ini saya dapat mengadakan pelbagai program bersama mereka, tetapi sekarang pergerakan agak terbatas dengan segala prosedur operasi standard (SOP), jadi siaran secara langsung itu sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka,” luah Andi menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI