fbpx

‘Semoga kita bertemu di pintu syurga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAYANG berasa sedikit ralat kerana tidak sempat merakamkan lagu terakhir tulisan Rudy Imran.

PETALING JAYA – “Dayang bagai hilang kata-kata kerana semuanya berlaku sangat cepat. Semoga kita bertemu di pintu syurga”.

Demikian luahan rasa penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah yang masih terkejut dan sukar mempercayai berita mengenai pemergian penulis lirik dan bekas wartawan terkenal, Rudy Imran hari ini.

“Hari ini Dayang kehilangan seorang lagi insan yang besar jasanya dalam perjalanan seni Dayang.

“Rudy Imran yang biasa Dayang panggil abang Rudy antara orang yang melihat Dayang ‘membesar’ di dalam bidang muzik, bermula dari hubungan antara wartawan dan artis hinggalah abang Rudy (panggilan Rudy) menulis lirik untuk lagu-lagu Dayang.

“Terlalu banyak kebaikan abang Rudy, orang sekeliling sentiasa menyenangi. Dayang bagai hilang kata-kata kerana semuanya berlaku sangat cepat. Dayang akan kenang setiap kenangan indah sepanjang kerjasama kita,” coretnya dalam Instagram.

Pada hantaran sama, pelantun lagu Lelaki Teragung hasil nukilan Allahyarham Rudy atau lebih mesra disapa sebagai Iman Imran memberitahu sedikit ralat kerana tidak sempat merakamkan naskhah terbaru yang ditulisnya.

“Dayang berasa sedikit ralat kerana tak sempat rakamkan lagu yang abang Rudy tuliskan liriknya.

“Andai dapat diulang masa, saya nak merakamkan lebih awal agar abang Rudy dapat mendengarnya. Namun mungkin inilah buah tangan terakhir abang Rudy buat Dayang sebagai memori di hari mendatang.

“Semoga roh Abang Rudy ditempatkan di kalangan insan yang dikasihi Allah. Semoga kita bersua ‘Di Pintu Syurga’,” katanya lagi.

Pagi ini, dunia hiburan tanah air kehilangan sebutir bintang yang sangat berharga apabila Rudy, 47, meninggal dunia di kediamannya di Semenyih selepas lama bertarung dengan penyakit kanser usus sejak beberapa tahun lalu.

Selain berkecimpung dalam dunia kewartawanan, Allahyarham juga merupakan seorang penulis lirik berbakat. Lagu nukilan lirik olehnya, Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah pernah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-31, lima tahun lalu.

Antara lagu popular tulisannya yang lain termasuklah Di Pintu Syurga juga dendangan Dayang.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan bermula 1995 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah bekerja di beberapa buah majalah hiburan popular seperti VariaPop, Akhbar Watan, majalah Hai  (Utusan Karya), sebelum kali terakhir menamatkan karier dalam dunia kewartawanan bersama akhbar tabloid arus perdana, Harian Metro.

Ketika masih bekerja, Allahyarham melanjutkan pengajian secara sambilan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang komunikasi massa peringkat ijazah. sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia.

Difahamkan, Allahyarham dalam proses menyiapkan tesis bagi pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD), namun tidak kesampaian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI