fbpx
DIANA (kiri) berpendapat tindakan Chris bergurau tentang isu rambut gugur Jada tidak sepatutnya berlaku di atas pentas Oscars.

Tak baik jadikan penyakit Jada sebagai bahan gurauan – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Insiden aktor antarabangsa Will Smith menampar rakan seindustri, Chris Rock di atas pentas Academy Awards susulan mengejek masalah keguguran rambut Jada Pinkett hari ini mendapat reaksi ramai.

Turut menyuarakan pendapat mengenai situasi mengejutkan itu ialah aktres terkenal, Diana Danielle berpandangan masalah kesihatan yang dilalui Jada tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan seperti dilakukan Chris.

TANGKAP layar InstaStory Diana yang menyuarakan pendapat mengenai insiden Will menampar Chris hari ini.

“Isteri dia mengalami Alopecia Areata. Kondisi yang membuatkan dia kehilangan rambut dan itu ialah penyakit Autoimun.

“Will pasti memahami kesukaran yang dilalui Jada. Tidak baik menjadikan penyakitnya sebagai satu bentuk gurauan,” kata pelakon filem Histeria tersebut menerusi InstaStorynya hari ini.

Tambah isteri kepada aktor, Farid Kamil itu, anugerah berprestij antarabangsa seperti Oscars juga tidak boleh digunakan sebagai platform untuk mengejek mahupun bergurau tentang kekurangan orang lain.

“Anda di atas pentas Oscars, untuk meraikan kejayaan individu dalam industri.

“Dia sepatutnya menyebarkan kesedaran mengenai penyakit tersebut tetapi memilih untuk merendah-rendahkannya,” katanya lagi.

Hari ini, Chris atau nama sebenarnya, Christopher Julius Rock berjenaka tentang Jada yang disifatkan berpotensi berlakon dalam filem G.I. Jane disebabkan kepala botaknya sesuai dengan watak utama filem berkenaan namun jenaka tersebut membuatkan Will naik angin.

Will yang tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem King Richard naik ke atas pentas dan menampar Chris kerana tidak berpuas hati dengan mulut celoparnya.

Disebabkan insiden tidak dijangka tersebut, siaran langsung Academy Awards yang dipancarkan menerusi saluran Showcase Movies (Astro 413) tergendala seketika di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

POPULAR