fbpx

Lebih 50 lokasi ponteng puasa di Kelantan dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasnan (kiri) memakaikan jaket kepada seorang penguat kuasa Jaheaik semasa majlis penyerahan jaket kepada 60 pegawai dan anggota penguat kuasa di Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) mengenal pasti lebih 50 lokasi panas yang dipercayai menjadi tumpuan umat Islam untuk ponteng puasa semasa bulan Ramadan.

Timbalan Pengarah Operasi Jaheaik, Dr. Hasnan Ramli berkata, lokasi itu antaranya kedai makan milik peniaga Islam atau bukan Islam, kawasan tersembunyi, tangga pasar raya dan kilang papan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kira-kira 20 lokasi panas telah dikenal pasti di pusat bandar Kota Bharu sahaja untuk dijadikan tempat individu ponteng puasa.

“Sehubungan itu, seramai 60 anggota penguat kuasa Jaheaik akan bertugas untuk memantau di lokasi-lokasi yang sudah dikenal pasti sepanjang Ramadan tahun ini.

“Kita berharap semua pihak memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan individu tidak berpuasa dan makan di restoran atau tempat awam kepada penguat kuasa Jaheaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jaket kepada 60 pegawai dan anggota penguat kuasa Jaheaik di Kompleks Islam Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnan memberitahu, hanya tiga kes individu ditangkap kerana makan di tempat awam dan kesemua pesalah telah dikenakan denda RM1,000 seorang sepanjang Ramadan tahun lalu.

Menurutnya, individu yang terlibat dalam kesalahan ponteng puasa atau bersubahat dengan mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 iaitu tidak menghormati Ramadan.

Tambahnya, di bawah peruntukan baharu enakmen itu, individu yang didapati bersalah boleh didenda RM2,000 berbanding RM1,000 jika mengikut peruntukan lama enakmen sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI