fbpx

28 April sebutan serahan dokumen kes dadah DJ Isma Halil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isma Halil.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 April ini bagi sebutan semula kes penyampai radio, Isma Halil Hamzah atas pertuduhan mengedar dadah tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memaklumkan terdapat beberapa lagi dokumen berkaitan kes itu belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Terdahulu, semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk serahan beberapa dokumen.

Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar kemudian mencadangkan mana-mana dokumen yang ada diserahkan dahulu kepada pihaknya.

“Saya cadangkan, mana-mana dokumen yang ada diserahkan dahulu,” kata peguam itu.

Pada 21 Februari lalu, Isma, 49, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengedar dadah selepas pengakuan direkodkan buat pertama kali.

Mengikut pertuduhan, Isma didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis iaitu 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah  Berbahaya 1952 dan boleh dihukum  dibawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Majistret di sini  membenarkan kes Isma dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Ia selepas peguam Adi Zulkarnain Zulkafli ketika itu memaklumkan laporan kimia telah diperoleh yang mana berat dadah itu turun daripada 409 gram seperti dalam pertuduhan kepada 374.6 gram.

Kes dadah itu dipindah dan dibicarakan ke Mahkamah Tinggi berikutan hukuman bagi pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum ini Isma dilaporkan sihat dalam penjara selain tiada aduan berkaitan kesihatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI