fbpx
ZULKPLI menunjukkan keindahan bilah kerisnya yang diperbuat daripada besi tua.

Rasa bangga keris ditempah sultan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG pembuat keris dan parang di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor amat bertuah kerana hasil tangannya itu mendapat sambutan daripada orang ramai.

Sehingga kini, lelaki itu telah menghasilkan lebih 1,000 keris yang bermutu tinggi.

Apa lebih membanggakan, hasil tangan Zukpli Wahab, 49, bukanlah biasa-biasa apabila keris dihasilkan turut ditempah golongan diraja antaranya Sultan Pahang yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
———————————————————————————————————————————————
IBARAT mendapat seketul emas, begitulah gambaran kepuasan seorang pembuat keris dan parang di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor setiap kali berjaya menyiapkan produk kraf itu.

Pesara askar, Zukpli Wahab, 49, berkata, tidak dinafikan masa yang diambilnya untuk membuat sebilah keris dari awal hingga akhir memakan masa yang agak lama, bahkan sehingga dua bulan.

Katanya, ini kerana dia mahu memberikan hasil terbaik buat pelanggannya yang rata-rata terdiri daripada peminat senjata tradisional masyarakat Melayu itu.

Zukpli atau lebih dikenali sebagai Zul Purba dalam kalangan peminat keris dan masyarakat sekitar sudah berpengalaman membuat keris sejak 18 tahun lalu.

Sehingga kini, lelaki itu telah menghasilkan lebih 1,000 keris yang bermutu tinggi.

Bagi Zukpli, semua keris dan parang yang dihasilkan dibuat dengan sepenuh jiwa dan hatinya sekali gus akan
menghasilkan produk yang berkualiti.

“Selepas bersara awal daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2004, saya mula buat keris dan parang ini yang pada awalnya hanya suka-suka. Selepas tiga hingga lima bulan buat, tak sangka pula ramai yang tempah.

“Selepas setahun, saya terus buka bengkel besi dan kayu di sebelah rumah ekoran sambutan yang amat baik daripada orang ramai terhadap keris dan parang buatan saya ini,” katanya kepada Panorama.


ZULKPLI atau Zul Purba berpengalaman membuat keris dan parang sejak tahun 2004, selepas bersara dari khidmat tentera.

Kongsi Zukpli, sebelum ini dia merupakan seorang tentera darat di sebuah pusat latihan askar wataniah di Johor.

Ternyata hasil tangan Zukpli bukanlah biasa-biasa apabila keris dihasilkan turut ditempah golongan diraja antaranya Sultan Pahang yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-
Mustafa Billah Shah dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Zukpli juga pernah menerima pengiktirafan SkillsMalaysia oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), selain sering mendapat tempat pertama hingga ketiga setiap kali menyertai pertandingan membuat keris.

Ditanya apakah keistimewaan keris buatannya sehingga menarik perhatian ramai termasuk golongan diraja, Zukpli berkata, keris yang dihasilkannya dikatakan orang mempunyai seni pembuatan yang halus dengan menggunakan tangan termasuk ukiran coraknya.

“Saya tidak mengikuti pengajian secara khusus tentang pembuatan kraf seperti keris dan parang, cuma saya amat meminati cara pembuatan dan ukirannya. Saya ada berguru secara tidak formal dengan ramai orang termasuk pembuat keris dari Terengganu dan Pattani, Thailand.

“Saya juga pernah mempelajari pembuatan model keris Jawa di Jogjakarta, Indonesia. Saya pergi sendiri ke sana, kebetulan saya juga mempunyai saudara di sana,” katanya.


KAYU kemuning digunakan untuk membuat sarung keris.

Tambahnya, keunikan keris dihasilkan juga adalah terletak pada bilahnya yang menggunakan ‘besi tua’ selain ukiran diperbuat daripada perak.

Keris yang boleh dikatakan sering mendapat tempahan ialah keris Malela, Anak Alang, Pandai Sarah, Pandai Mamat, Pukal dan Bugis.

Menurut Zukpli, bekalan besi diperoleh dari merata tempat dan dia hanya menggunakan besi tua untuk membuat bilah keris.

“Agak susah hendak mencari besi tua ini. Ia bukan besi karat tetapi besi yang telah lama tertanam atau berusia amat lama dan besi itu yang saya gunakan untuk membuat bilahnya.

“Saya turut menggunakan kayu kemuning atau kayu sena untuk membuat sarungnya. Paling mencabar adalah membuat ukiran di hulunya. Saya gemar membuat ukiran bunga Bugis dan juga bunga awan larat.

“Ukiran halus yang perlu dihasilkan memang mencabar sebab itu ia memakan masa yang lama untuk saya siapkan,”katanya.


ZULKPLI menunjukkan besi tua yang digunakan untuk menghasilkan keris di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor.

Bapa kepada lima orang anak itu memberitahu, harga bagi sebilah keris dihasilkan pernah mencecah sehingga RM8,000.

Sebagai pembuat keris, bagi Zukpli, apa yang diimpikan adalah mahu semua rumah penduduk Melayu mempunyai sekurang-kurangnya sebilah keris di setiap kediaman.

“Bayangkan apabila berlakunya darurat, senjata apa yang hendak dibawa? Jika masyarakat Melayu kita dahulu ketika zaman dijajah, mereka menggunakan keris untuk berjuang.

“Tambahan pula keris merupakan senjata hebat yang ‘tidak boleh dibaca’. Maka, sebab itu tidak mustahil orang Melayu boleh menang dengan hanya bersenjatakan keris satu ketika dahulu,” katanya lagi.

Selain menyiapkan tempahan, Zukpli turut membuka kelas kursus asas membuat keris dan parang kepada orang ramai yang berminat di bengkelnya.


KEMAHIRAN dan kecekapan Zukpli dalam membuat keris diiktiraf pelbagai pihak.

Zukpli juga amat berterima kasih kepada agensi kerajaan yang menyokongnya seperti Jabatan Pertanian, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan lain-lain yang telah memberikan peruntukan berupa peralatan seperti mesin yang memudahkan lagi kerjanya.

Selain membuat keris bersama sarung, Zulkifli juga arif membuat parang dan pisau seperti pisau pemotong daging dan pisau sembelih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN