fbpx

Zaqhwan cipta kejutan takluk Litar Buriram, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaqhwan meraikan kemenangan bersama pasukan di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand sebentar tadi.

PETALING JAYA – Impian pelumba negara, Zaqhwan Zaidi untuk menawan Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 tercapai selepas menjuarai perlumbaan kelas perdana ASB1000 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand sebentar tadi.

Zaqhwan yang beraksi bersama Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang memulakan perlumbaan dipetak utama tampil dengan tunggangan terbaiknya selepas bersaing hebat dengan pelumba Jepun, Haruki Noguchi (SDG Motor Sports HARC-PRO Ph.)

Meskipun ketinggalan pada awal perlumbaan, namun ia tidak mematahkan semangat Zaqhwan selepas bijak mengawal rentak saingan sebelum memintas Haruki di selekoh terakhir untuk muncul juara pada aksi pembukaan ARRC 2022.

Pelumba Jepun, Haruki terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas hampir-hampir terjatuh pada pusingan terakhir manakala pelumba Thailand, Anupad Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team) berjaya menamatkan saingan tempat kedua.

“Pada awal perlumbaan saya akui sukar untuk mengawal rentak saingan mungkin keadaan litar sangat panas. Saya rasa sedikit agak pelik dengan jentera tetapi saya tidak mengendahkan perasaan tersebut.

“Saya fokus pada setiap pusingan untuk kembali di hadapan. Saya mempunyai pengalaman di sini dan gunakan sebaik yang mungkin. Saya lakukan terbaik dan berjaya memenangi perlumbaan pembukaan bagi musim 2022 ini,” katanya.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Zulhelmi Ahmad mengakui berbangga dengan pencapaian pasukannya sekali gus tekad untuk membantu Zaqhwan memburu kemenangan kedua esok.

“Syukur segala perancangan kita di Malaysia dan juga di Thailand membuahkan hasil dengan cukup baik meskipun ini kali pertama kita menggunakan jentera baharu ini.

“Saya akui bukan mudah kerana kru terpaksa mencari pelarasan terbaik memandangkan cuaca di Litar Buriram agak panas. Disebabkan itu, kita mencadangkan Zaqhwan tidak terlalu agresif pada awal perlumbaan.

“Menjelang perlumbaan 2 esok, kita akan melihat semula data yang ada untuk memastikan jentera dalam keadaan baik untuk berada di podium sekali lagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Juara bertahan kelas ASB1000, Azlan Shah Kamaruzaman terpaksa pulang hampa apabila berdepan masalah teknikal pada jenteranya.

Dua pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha Racing Team Asean) menamatkan perlumbaan di tempat keenam manakala pelumba OneXOX BMW TKKR Racing Team, Adam Norrodin di tempat ketujuh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI