Tanya Mufti
Apakah hukum memakai pewarna kuku selain daripada inai?
Jawapan:
Untuk wanita, mewarnakan jari digalakkan khususnya semasa perkahwinan.
Sementara bagi lelaki pula digalakkan untuk mewarnakan rambut khususnya yang sudah beruban.
Perkataan bagi mewarnakan yang digunakan ialah khadab – ikhtidab. Selain inai (hinak), terdapat bahan-bahan lain juga digunakan untuk mewarnakan kulit (khususnya jari) dan rambut pada zaman dahulu.
Antaranya, katam, waras, za’faran (saffron) dan sawad.
Ini seperti disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadis di bawah (lihat: 14/266. Beirut: Dar al-Khair). Kesemuanya itu digunakan dan tidak terhad kepada inai sahaja.
Dalam riwayat Muslim:
“Abu Bakar dan Umar mewarnakan rambut dengan hinak (inai) dan katam.” Katam ialah sejenis pokok yang menghasilkan warna kuning.
Ini dapat disimpulkan bahawa mewarnakan jari bagi wanita atau rambut bagi lelaki dan wanita juga boleh menggunakan apa-apa bahan yang bersih dan tidak menghalang air ketika berwuduk atau mandi wajib.
Tidak disyaratkan mesti pokok tertentu atau bahan tertentu.
Apa-apa bahan sama ada daripada alam semula jadi atau buatan boleh digunakan selagi mana tidak najis, atau menghalang air atau membawa mudarat kepada diri.
Perlu difahami, hadis-hadis tentang inai dan seumpamanya, lebih mendekati maksud pemakaian kebudayaan bagi adat sesuatu kaum.
Maka, hukum hakam dalam hal itu berkait juga dengan kebudayaan setempat.
Pemakaian inai salah satu bentuk perhiasan untuk wanita.
Dalam masyarakat Arab dan masyarakat yang seumpamanya amat dialukan.
Demikian juga lelaki mewarnakan rambut. Ia digalakkan jika itu sesuatu yang tidak dianggap pelik dalam
masyarakatnya.
Jika sebaliknya, sepatutnya ia dielakkan.















