KUALA LUMPUR – Sukar untuk diterima tetapi hakikatnya jumlah lelaki gay dan biseksual semakin meningkat di negara ini dan kebanyakan tembelang biasanya akan terbongkar apabila golongan yang mempunyai wajah tampan dan berbadan sasa itu dipaksa berkahwin oleh keluarga.
Kebanyakan kes yang dilaporkan ialah isteri mengadu bahawa mereka langsung tidak disentuh sejak hari pertama perkahwinan dan sikap dingin suami yang enggan bermesra dengan mereka sehingga mendatangkan syak.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, perkahwinan yang berakhir dengan penceraian angkara suami mempunyai nafsu songsang adalah tinggi di negara ini.

Katanya, sebanyak 30 pasangan telah menjalani sesi kaunseling pada 2021, manakala pada suku pertama tahun ini sahaja, pihaknya telah merekodkan sebanyak 40 kes seumpama itu.
“Isu gay dan biseksual yang berkahwin untuk menutup kegiatan mereka sudah lama berlaku.
“Berdasarkan kaunseling, hampir kesemua suami mengaku meminati kaum sejenis meskipun pada awalnya cuba berbohong,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Hushim, gerak geri gay sukar dikesan kerana mereka bijak mengaburi mata keluarga dan masyarakat dengan cara berpakaian dan berkomunikasi umpama lelaki normal.
Tambahnya, kebanyakan mereka sanggup bergelar bujang terlajak dan berkahwin bukan atas dasar cinta.
“Golongan gay sukar dipulihkan berbanding lesbian kerana ia melibatkan soal ketagihan seks songsang. Tempoh pemulihan sangat panjang hingga ada yang sampai 25 tahun.
“Segelintir sudah mengaku berubah, namun hakikat sebenarnya masih ketagih apabila sudah mula terjebak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para wanita supaya membawa bakal suami menghadiri sesi kaunseling terlebih dahulu bagi mengelak bernikah dengan lelaki gay atau biseksual.
Mengambil contoh kes yang dikendalikan, Hushim berkata, ada seorang doktor wanita berusia dalam lingkungan 30-an tertekan dan didera mentalnya sehingga kurus kering apabila langsung tidak disentuh suaminya sepanjang empat tahun berkahwin.
Katanya, mangsa langsung tidak menceritakan hal itu demi menjaga aib keluarga mentuanya yang bergelar Datuk Seri.
“Rahsia hanya terbongkar apabila ibu bapa lelaki itu membawa anak dan menantunya ke kaunseling apabila rumah tangga sudah mula goyah.
“Lelaki itu tampan dan bertubuh sasa tetapi tidak mahu berkahwin kononnya hendak fokus perniagaan. Akhirnya, keluarga jodohkan dia dengan doktor kerana mahu timang cucu,” katanya.
Menurut Hushim, sepanjang perkahwinan, doktor itu hanya berendam air mata dan diperlakukan umpama tunggul kayu kerana tidak dipedulikan suaminya.
“Ibu bapa lelaki itu sangat terkejut apabila mendapat tahu anaknya gay dan baru tahu mengapa dia sering mengelak apabila ditanya soal jodoh. Doktor itu akhirnya diceraikan kerana mentuanya tidak sanggup melihat dia tertekan dan didera secara mental,” katanya. – KOSMO! ONLINE














