fbpx
SUASANA unik di sekitar Pangkalan Nelayan Kampung Badong, Pekan, Pahang yang dipenuhi orang ramai yang membeli dengan memilih ketam-ketam segar masih hidup dan melekat di pukat sebaik sahaja nelayan pulang membawa hasil tangkapan ketam.

Ketam hidup tarikan pengunjung di pengkalan nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN semua orang dapat pengalaman memilih ketam segar yang masih hidup sebelum dibeli untuk dibuat lauk bagi hidangan seisi keluarga.

Semua itu boleh diperoleh di Pengkalan Nelayan Kampung Badong, Pekan , Pahang dan sukar didapati di tempat lain.

Setiap hari, kawasan sekitar pengkalan itu dipenuhi orang ramai yang tidak sabar menantikan kepulangan kira-kira 50 nelayan membawa hasil tangkapan ketam ke pantai.

Selain ketam hidup, orang ramai juga boleh membeli hasil laut lain seperti sotong katak dan juga ikan yang masih segar.
——————————————————————————————————————————————————————
MEMILIH ketam segar yang masih hidup menjadi sebahagian aktiviti unik di sekitar Pangkalan Nelayan Kampung Badong, Pekan, Pahang yang mungkin tiada di tempat lain.

Kewujudan ketam yang banyak di kawasan itu membolehkan setiap hari nelayan di sekitarnya yang bilangannya lebih 50 orang berupaya membawa pulang hasil tangkapan ketam dalam jumlah besar.

Setiap hari kawasan sekitar pangkalan nelayan itu pasti dipenuhi orang ramai yang datang dan sabar menunggu kepulangan nelayan dari laut yang membawa hasil laut khususnya ketam.

Malah, di kawasan berkenaan, orang ramai yang datang juga dilihat boleh bersama-sama memilih ketam segar yang masih hidup dan terlekat dipukat untuk dibeli sebagai juadah keluarga.

Selain ketam yang boleh didapati setiap hari, orang ramai juga boleh membeli hasil laut lain seperti sotong katak dan ikan-ikan yang masih segar.

Seorang nelayan, Ismail Ali, 37, berkata, dia yang lebih dua tahun melakukan kerja-kerja mencari ketam akan keluar ke laut bagi melihat pukat seawal kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum pulang ke pangkalan kira-kira pukul 10 pagi.

KETAM-KETAM yang melekat di pukat cuba ditarik keluar untuk dibeli pelanggan.

Katanya, antara ketam yang biasa diperoleh ialah ketam bunga, ketam renjong dan ketam mancis yang ditahan menggunakan pukat di kawasan laut kira-kira 20 batu nautika dari pangkalan.

“Ini ialah sumber pendapatan utama kami dan saya akan mengangkat pukat yang ditahan selang sehari. Kami semua tidak turun ke laut cuma pada musim ombak kuat kerana berisiko.

“Ketam sentiasa ada tetapi lebih banyak pada musim tertentu, selain itu terdapat juga sotong katak dan ikan yang lekat pada pukat. Biasanya ketam akan habis dijual kepada orang ramai yang menunggu di pondok untuk membelinya,” katanya kepada Panorama.

Dalam pada itu, seorang isteri nelayan, Nuriati Mustafa, 32, berkata, ketam-ketam segar itu yang dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran antara RM17 hingga RM35 sekilogram berdasarkan saiz mendapat sambutan yang baik.

Katanya, setiap kali suaminya mengangkat pukat, dia bersama anak-anak akan menunggu di pondok bagi mengutip ketam dan menjualnya terus kepada orang ramai yang datang.

“Setakat ini, setiap kali keluar pasti ada ketam dibawa balik sama ada sikit atau banyak, paling banyak kami pernah jual boleh mencecah RM1,000 sehari ketika musim ketam,” katanya.

Sementara itu seorang lagi nelayan, Abu Bakar Abu Seman, 60, berkata, meskipun ketam masih banyak terdapat di situ tetapi pelbagai cabaran dilalui nelayan termasuklah terpaksa berdepan ombak besar.

Selain itu katanya, pukat yang ditahan juga ada kalanya rosak dilanggar kapal pukat tunda yang masuk ke kawasan berkenaan sehingga mengalami kerugian dan terpaksa membeli pukat baharu.

Kesegaran ketam dengan harga berpatutan menyebabkan pembeli sanggup menunggu lama, malah ada yang datang dari jauh untuk mendapatkan ketam segar di Pangkalan Nelayan Kampung Badong.

PENGKALAN ini menjadi tempat untuk para nelayan berlabuh untuk mengangkat hasil tangkapan.

Seorang pembeli, Rozmi Abdullah, 45, berkata, dia mula datang ke pangkalan itu selepas mendapat tahu daripada rakan-rakannya mengenai ketam segar yang dijual dengan harga berpatutan.

“Ini kali kedua saya datang ke sini selepas kali pertama datang saya ada tersesat, tetapi saya rasa berbaloi kerana dapat membeli ketam yang segar dan masih lagi hidup untuk sajian keluarga dan murah.

“Saya datang kali ini bersama anak dan isteri. Kami juga sama-sama dapat memilih ketam segar untuk dibawa pulang. Memang berbaloi, bukan sahaja harga berpatutan malah tanpa orang tengah. Peniaga juga kadangkala memberikan ketam lebih seekor dua,” katanya yang merupakan guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah di Rompin.

Dalam pada itu seorang lagi pembeli, Arman Mazlan, 46, berkata dia sering datang ke situ untuk membeli ketam dan ikan segar bersama keluarga khususnya pada hujung minggu.

Katanya, pelanggan bukan sahaja dapat membeli ketam segar tetapi mendapat pengalaman untuk memilih sendiri ketam yang masih hidup dan berada di pukat.

“Sememangnya selepas datang ke sini saya dan keluarga tidak mahu lagi membeli ketam di pasar yang sudah lama berada di dalam ais batu. Rasa ketam segar begini memang berbeza dan sedap dengan rasa manis.

“Saya harap aktiviti jualan ketam segar seperti ini akan berterusan dan diperluas lagi ke tempat-tempat lain agar pengguna mendapat hasil laut segar dengan harga berpatutan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN