fbpx
HANIEZA lega apabila suaminya bersetuju mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini selepas kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran wang KWSP kelmarin.

Rancang guna duit KWSP daftar nikah secara sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri di negeri ini yang bernikah di selatan Thailand pada 2019 memasang niat untuk mendaftarkan pernikahan mereka secara sah selepas kerajaan mengumumkan penge­luaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin.

Bukan setakat itu, pasangan tersebut turut merancang untuk menggunakan sebahagian wang hari persaraan sebagai mas kahwin.

Seorang wanita dikenali sebagai Hanieza, 41, berkata, dia bersyukur dan boleh menarik nafas nafas lega selepas suaminya mahu mendaftarkan pernikahan mereka mengikut undang-undang negara ini sekiranya memperoleh wang caruman KWSP pada bulan depan.

Menurut peniaga kosmetik itu, sudah lama dia menantikan hubungan yang ‘halal’ bersama suaminya yang berusia 41 tahun setelah hampir empat tahun bernikah secara ekspres di Betong, Thailand.

“Sebelum ini kami memang berhasrat untuk mendaftarkan pernikahan secara sah tetapi disebabkan faktor kewangan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara itu ditangguhkan sementara.

“Sebelum bernikah, saya me­rupakan seorang janda anak dua, manakala suami pula adalah duda anak tiga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Hanieza, mereka mengambil keputusan bernikah di negara jiran pada 2019 kerana tidak menggunakan wang yang banyak hanya RM1,000 dengan dibantu tiga rakannya.

Cerita Hanieza lagi, suaminya yang bekerja sendiri merancang menggunakan wang pengeluaran KWSP untuk urusan pendaftaran nikah termasuk denda yang bakal dikenakan, manakala ba­kinya pula untuk mas kahwin.

“Suami beritahu ini adalah masa terbaik untuk dia membuktikan kasih sayang terhadap saya. Kami tidak mahu lagi pe­ning kepala dan risau memikirkan status pernikahan ini.

“Memang serabut apabila memikirkan masalah ini (bernikah di Siam). Sampai sekarang saya tidak berpeluang melihat sijil nikah. Suami beri alasan belum siap dan tunggu panggilan daripada rakan yang membawa kami ke sana,” katanya.

Hanieza turut menjelaskan, kebenaran pengeluaran wang KWSP tersebut akan digunakan mereka dengan sebaik mungkin.

“Kami mahu bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain,” katanya yang belum dikurniakan anak hasil perkahwinan kali ke­dua itu.

Hanieza turut menasihati pasangan yang memasang niat untuk bernikah di Thailand supaya melupakan hasrat tersebut atau berdepan pelbagai cabaran di kemudian hari.

Kosmo! semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengeluaran simpanan KWSP sehingga RM10,000 kepada ahli berusia 55 tahun ke bawah bermula pada 1 April hingga 30 April ini bagi meringankan beban rakyat.

Beliau bagaimanapun me­minta mereka yang benar-benar terdesak sahaja membuat pengeluaran wang caruman tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN