“SETIAP kali bergaduh, saya yang menjadi mangsa. Suami saya mempunyai sifat panas baran dan akan bertindak agresif sehingga bertindak memukul saya.
“Saya pernah meminta pertolongan kakak supaya datang mengambil saya untuk dibawa pulang ke kampung kerana tidak tahan lagi diperlakukan sedemikian,” luah seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Husna kepada K2.
Imbas Husna, sebelum berkahwin, lelaki itu tidak pula menunjukkan ciri-ciri seorang panas baran. Jadi, hanya dalam beberapa bulan berkenalan, mereka memutuskan untuk berkahwin.
“Suami saya ini lebih muda daripada saya. Selepas berkahwin, dia mula menunjukkan belang sebenar apabila bersifat panas baran dan lebih teruk lagi curang terhadap saya.
“Malah, suami pernah membawa balik perempuan lain ke rumah ketika ketiadaan saya,” dedahnya.
Hal itu kata Husna, menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka. Kecurangan suaminya menjadi faktor mereka sering bertengkar.
Ketika bergaduh, Husna menjadi mangsa keganasan apabila suaminya mula memukulnya.
“Saya pernah ditampar sehingga berdarah mulut. Malah, saya juga pernah dipijak oleh suami,” akuinya.
Selain Husna, seorang lagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Elly turut menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Cerita Elly, suaminya sering menjadikan dirinya mangsa untuk melepaskan tekanan.
“Suami merupakan seorang penagih dadah dan saya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas kami mendirikan rumah tangga.
“Selain itu, suami saya juga kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan ini memberikannya lebih tekanan,” jelasnya.

Tambah Elly, apabila suaminya hilang pertimbangan, dia akan mengamuk dan memukulnya.
Kata Elly, dia ada terfikir untuk berpisah dengan suaminya tetapi lelaki itu pandai memujuk dan meminta maaf selepas melakukan kesilapan dan berjanji untuk berubah.
Itu yang membuatkan Elly masih bertahan dan mengharapkan agar suaminya berubah.
Akhbar baru-baru ini melaporkan, mengikut statistik, terdapat peningkatan sebanyak 42 peratus bagi kes keganasan rumah tangga di negara ini tahun lalu apabila sebanyak 7,468 kes dilaporkan dan dibuka kertas siasatan, berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,260 kes.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perkara itu didorong oleh perubahan norma baharu kehidupan ekoran pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak bukan sahaja kepada tingkah laku seseorang, bahkan terhadap emosi dan kesihatan mental mereka.
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Norulhuda Sarnon@Kusenin berkata, statistik yang menunjukkan peningkatan kes keganasan rumah tangga boleh dilihat dari dua perspektif.

Menurutnya, pertama keseriusan isu keganasan rumah tangga ini memberi isyarat bahawa fenomena yang berlaku dalam masyarakat perlu ditangani segera.
“Sementara perspektif kedua ialah berkaitan kesedaran mangsa penderaan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa semakin tinggi.
“Ini menyumbang kepada peningkatan statistik pelaporan,” ulasnya.
Bagaimanapun, katanya, apabila melihat corak peningkatan kes keganasan rumah tangga turut berlaku di negara-negara lain, maka dapat dikatakan peningkatan kes sangat berkait rapat dengan situasi semasa yang dihadapi masyarakat seluruh dunia dalam era pandemik Covid-19.
Ini terbukti apabila banyak kajian dibuat sama ada di dalam dan luar negara menunjukkan ramai orang terkesan akibat Covid-19 sehingga menjejaskan kesejahteraan mental.
Norulhuda menerangkan, isu-isu yang timbul kesan daripada pandemik Covid-19 ke atas individu mahupun keluarga dan norma baharu ke atas kehidupan hari ini banyak membentuk tekanan baharu ke atas diri seseorang.

Katanya, implikasinya, bagi mereka yang gagal mengawal tekanan semasa, mudah bertindak melakukan keganasan ke atas orang lain.
“Mereka yang menjadi mangsa biasanya dianggap lebih lemah, rendah statusnya atau yang dianggap mengganggu emosi. Sebenarnya data yang ada tidak dapat ‘mencungkil’ penyebab sebenar mengapa tingkah laku agresif dilakukan oleh pendera.
“Jika ada pun, ia lebih dilihat dari kaca mata mangsa berdasarkan laporan kepada pihak polis atau pegawai pelindung,” tegasnya.
Melihat kepada kajian-kajian sebelum ini, keganasan rumah tangga berlaku disebabkan beberapa faktor.
Ini termasuk diri pendera itu sendiri seperti potret personaliti yang agresif, sejarah silam pendera, mempunyai masalah kesihatan mental, pengambilan dadah dan alkohol serta pengurusan amarah yang lemah.
Faktor hubungan pula meliputi kuasa dominan yang dimiliki pihak pendera, gagal mengurus konflik atau perasaan cemburu keterlaluan.
Kemudian, faktor persekitaran seperti tekanan ekonomi, kesihatan dan norma budaya terhadap gender.
Norulhuda menjelaskan, dalam konteks hari ini, pelbagai tekanan tambahan akibat pandemik Covid-19 turut memberi kesan ke atas rutin, corak komunikasi dan peranan ahli keluarga.
Ini termasuk bagi mereka yang kehilangan dan berkurang pendapatan, penyesuaian dengan pelbagai norma baharu seperti bekerja dari rumah serta perubahan sistem pembelajaran anak-anak.
Menurutnya, lebih kritikal adalah kurangnya sokongan sosial ke atas pendera mahupun mangsa apabila menghadapi tekanan disebabkan batasan interaksi sosial pada masa kini.
“Apabila kurangnya sokongan sosial dan kebanyakan masa banyak tertumpu di rumah, maka individu-individu yang berada di dalam rumah mudah menjadi mangsa bagi pendera melepaskan kemarahan dan tekanan dialami.
“Dalam hal ini, tiada pihak yang salah kerana ia berlaku ekoran perubahan kepada norma baharu. Justeru, penting bagi kita untuk menjaga keselamatan dan kesihatan diri,” ulasnya.
Tambah Norulhuda, apa yang perlu ditekankan bagi mengelakkan keganasan rumah tangga pada musim pandemik ini supaya tidak terus berlaku adalah penerimaan secara mental dengan perubahan corak atau rutin baharu keluarga.
Di samping itu katanya, penting juga meningkatkan sokongan sosial semasa menghadapi tekanan dan meningkatkan kemahiran mengurus kemarahan dan konflik dengan lebih berkesan.
Umum sedia maklum bahawa tingkah laku keganasan rumah tangga biasanya bukan berlaku hanya sekali dan laporan dibuat biasanya bukan kali pertama oleh mangsa.
Ini bermakna, masih ada ruang dan masa untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Namun, ramai yang leka dan tidak sedar ‘ruang’ itu sentiasa ada, sebaliknya hanya membiarkan sehingga berlaku keganasan berulang kali.
“Saya suka mencadangkan, setelah reda sesuatu kes keganasan rumah tangga, ia perlu segera diberi bantuan profesional seperti kaunseling dan intervensi oleh kaunselor atau pekerja sosial. Ini bagi membolehkan kedua-dua pihak iaitu pendera dan mangsa mendapat manfaat pada fasa tenang tersebut. Oleh itu, interaksi mangsa bersama rakan-rakan dan keluarga amat penting dalam mempengaruhi mereka untuk mencari bantuan,” katanya.
Bagi pendera pula, jelas Norulhuda, mereka perlu sedar bertindak agresif semasa marah itu sangat membahayakan. Justeru ujarnya, mereka perlu mencari sokongan sosial semasa menghadapi tekanan bagi mengurus kemarahan dengan baik.














