fbpx

‘Kecil pakai baju Snoop ulang-ulang, sekarang rakam lagu sama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE (kiri) berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT sentiasa percaya dengan aspirasi muziknya.

JOHOR BAHRU – Angan-angan jadi impian, impian jadi cita-cita.

Itu antara bait lirik puitis penyanyi rap, Joe Flizzow dalam lagu Apa Khabar yang semakin hari, semakin bertukar realiti bahawa tidak salah untuk bermimpi.

Terutamanya apabila sekali lagi  Joe, 43, berkolaborasi dengan penyanyi rap idolanya, Snoop Dogg untuk lagu tema kelab bola sepak ternama tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjudul Pioneers.

Kata Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, apa yang berlaku dalam hidupnya sekarang umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Masa kecil dahulu, memang saya impikan saat ini (rakam lagu dengan Snoop).

“Dulu, di Subang orang panggil saya ‘Joe Snoop’ sebab saya pakai baju Snoop (terpapar wajahnya) tiap-tiap hari.

“Saya ada tiga baju Snoop Dogg, tiga-tiga saya pakai berulang kali baju itu (yang sama) sahaja,” katanya kepada kepada Hib Glam.

Joe ditemui usai majlis mendatangani perjanjian pengedaran lagu Pioneers nyanyian Snoop dan dirinya sebagai lagu tema rasmi JDT 2022 di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT semalam.

Tambah Joe, dia berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT kerana sentiasa percaya dengan aspirasi muziknya.

“Tunku memang peminat tegar muzik hip hop. Citarasa muzik kami pun sebenarnya, lebih kurang.

“Menerusi Pioneers, adalah penting untuk saya sampaikan mesej JDT itu sendiri. Kita nak memberi inspirasi terutama untuk generasi seterusnya.

“Idea lagu ini tercetus daripada Tunku Mahkota sendiri. Saya rasa sejak awal penubuhan JDT, saya sentiasa bersamanya, baginda pernah beritahu ‘mungkin suatu hari kita boleh kerja dengan Snoop kan Joe’.

“Beberapa bulan lepas, kita berhubung dengan pihak-pihak yang sepatutnya macam Datuk Norman. Saya tanya beliau, sama ada betul atau sebaliknya. Dan sejak itu, kita terus bersungguh-sungguh merealisasikan projek ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Snoop menerusi Instagramnya yang memiliki 71.2 juta pengikut turut berkongsi video muzik Pioneers dengan memetik antara bait lirik dalam lagu berkenaan: “Vision without execution is just a hallucination. (visi tanpa pelaksanaan hanyalah satu halusinasi).”

Pioneers nyanyian Snoop dan Joe diterbitkan oleh SonaOne. Rakaman vokal dirakamkan di Los Angeles, Amerika Syarikat dan Kuala Lumpur manakala proses susunan lagu dan adunan muzik dilakukan di Los Angeles.

Terdahulu, Joe diberi penghormatan berkolaborasi dengan Snoop atau nama sebenarnya, Calvin Cordozar Broadus Jr. menerusi album Algorithm (Global Edition) untuk lagu Alright. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI