fbpx

Kanak-kanak Syria terus sengsara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK bermain dengan tayar di sebuah kem pelarian sementara di bandar Idlib pada 8 Mei 2021. – AFP

DAMASCUS – Hampir lima juta kanak-kanak yang dilahirkan di Syria sejak Mac 2011 membesar dalam persekitaran perang yang meninggalkan kesan fizikal dan emosi mendalam sehingga kini, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), selepas 11 tahun, krisis peperangan di Syria terus membuatkan kanak-kanak tersebut sukar menjalani kehidupan normal.

Pada tahun lepas sahaja, hampir 900 kanak-kanak Syria dilaporkan terkorban atau cedera, menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh dan cedera sejak permulaan perang kepada hampir 13,000 orang.

Periuk api, sisa letupan perang dan bom gagal meletup menjadi penyebab kepada kecederaan dalam kalangan kanak-kanak pada tahun lalu yang membuatkan ramai mengalami kecacatan kekal.

Sejak pertempuran bermula selepas penindasan kejam bagi protes besar-besaran akibat reformasi politik, keganasan, kehilangan tempat tinggal dan kekurangan akses kepada keperluan asas, semua itu terus menghalang kehidupan normal kanak-kanak di Syria.

“Hampir lima juta kanak-kanak dilahirkan di Syria sejak 2011. Mereka tidak tahu perkara lain selain peperangan dan konflik. 

“Di kebanyakan kawasan di Syria, mereka meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang penuh dengan keganasan, periuk api di merata-rata dan sisa letupan perang.

“Krisis tersebut meninggalkan kesan psikologi kepada kanak-kanak yang menunjukkan gejala-gejala tekanan seperti kegelisahan, kesedihan, keletihan atau masalah kesukaran tidur yang berterusan,” kata Wakil Unicef bagi Syria, Bo Viktor Nylund.

Tambah Nylund, semua kanak-kanak Syria layak mendapat hak untuk dijaga dan diasuh. Beliau turut menegaskan komitmen Unicef untuk menyokong kanak-kanak berkenaan tanpa sebarang stigma di mana-mana sahaja mereka berada.

“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu kanak-kanak Syria yang cacat dan normal, yang terjejas dengan peperangan. 

“Ini adalah penting supaya mereka boleh mencapai potensi menyeluruh untuk membesar dan dilindungi daripada kemudaratan, sekali gus memastikan mereka sihat serta mendapat pendidikan,” tegasnya.

Sementara itu, di seluruh Syria dan negara-negara jiran yang menempatkan kira-kira 5.8 juta kanak-kanak yang memerlukan bantuan, Unicef bersama organisasi-organisasi lain terus berusaha untuk melindungi mereka dalam menghadapi kesan daripada konflik.

Ia termasuk menyediakan sokongan psikologi bagi membantu mereka pulih daripada kesan trauma serta menyampaikan sokongan dan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang bergelut secara fizikal dan psikologi.

“Saya berasa gembira kerana dapat pergi ke sekolah semula, bermain dengan rakan-rakan dan belajar,” kata Azzam, 12.

Azzam merupakan salah seorang kanak-kanak Syria yang kehilangan kakinya akibat peperangan. Dia kini menghadiri sebuah sekolah yang disokong oleh Unicef dengan mengetengahkan pembelajaran inklusif di Al-Nashabieh, bahagian pedalaman Damascus. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI