fbpx

Mexico minta PBB gantung keanggotaan Ecuador

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARCENA bercakap pada sidang akhbar di Bandar Raya Mexico pada 7 April lalu. – AFP

BANDAR RAYA MEXICO – Mexico memfailkan tindakan undang-undang terhadap Ecua­dor di Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ) kelmarin berhubung serbuan ke atas kedutaannya di Quito dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung keanggotaan Ecuador.

“Mexico meminta penggantungan tersebut melainkan Quito meminta maaf secara terbuka dan mengaku bahawa Ecuador telah melanggar prinsip teras dan norma undang-undang antarabangsa,” kata Menteri Luar Mexico, Alicia Barcena pada satu sidang akhbar.

Pasukan keselamatan menyerbu Kedutaan Mexico pada Jumaat lepas untuk menangkap bekas Naib Presiden Ecuador, Jorge Glas yang dikehendaki atas dakwaan rasuah dan diberikan suaka oleh Mexico.

Pencerobohan yang jarang berlaku terhadap wilayah kedutaan itu mencetuskan bantahan antarabangsa dan mendorong Mexico memutuskan hubungan dengan Ecuador termasuk memanggil pulang diplomatnya dari negara berkenaan.

Pada sidang akhbar sama, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, matlamat tindakan undang-undang itu adalah bagi memastikan insiden serupa tidak berulang di negara-negara lain dan undang-undang antarabangsa terus terjamin.

Sementara itu, Presiden Ecuador, Daniel Noboa mempertahankan serbuan ke atas Kedutaan Mexico sebagai ‘perlu’ untuk menahan Glas kerana dia berisiko melarikan diri ke luar negara.

Noboa berkata, beliau bersetuju untuk ‘menyelesaikan sebarang percanggahan’ dengan Mexico.

ICJ yang berpangkalan di The Hague, Belanda dan ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua untuk mengadili pertikaian antara negara, mengesahkan lewat kelmarin bahawa pihaknya telah menerima permohonan Mexico.

Stephane Dujarric yang me­rupakan jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, keputusan menggantung keanggotaan sesebuah negara merupakan ‘isu yang perlu diputuskan sendiri oleh negara-negara anggota PBB’.

“Kami amat berharap ketegangan antara Ecuador dan Mexico dapat ditangani menerusi dia­log,” katanya kepada pemberita di New York. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI