fbpx

Mungkin anggapan saya salah terhadap Najib – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-13 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau mungkin salah ketika beranggapan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak hendak meneruskan penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail berkata, demikian ketika disoal balas oleh peguam Najib, Datuk Hariharan Tara Singh semasa dirujuk surat daripada Setiausaha Sulit Istana Terengganu kepada TIA yang menunjukkan bahawa Najib sendiri bersetuju untuk menggantung penerbitan bon berkenaan.

Menjawab soalan Hariharan bahawa berdasarkan surat itu, adakah beliau bersetuju bahawa Najib tidak mahu teruskan penerbitan bon IMTN, Ismee menjawab, “Ya”.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Ismee bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa pertemuan dengan Najib di Langgak Duta yang turut disertai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi diadakan hanya kerana ia berkaitan dengan jaminan kerajaan.

Ismee turut bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa pada ketika itu Najib bukan wakil pemegang saham TIA dan tidak berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan.

Hariharan kemudian mencadangkan bahawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu menggantung penerbitan bon IMTN kerana terdapat beberapa syarat yang tidak dipatuhi, bagaimanapun Ismee berkata, beliau tidak mengingati secara spesifik tetapi Sultan Mizan hanya melahirkan kebimbangan secara umum.

Sementara itu Ismee berkata, beliau dan Shahrol Azral menandatangani resolusi pengarah bagi menggantung penerbitan bon itu di hadapan Sultan Mizan dan kekanda Sultan, Tengku Datuk Rahimah Puteri Ibni Almarhum Sultan Mahmud dalam pertemuan di Istana Terengganu pada 22 Mei 2009.

Katanya selepas pertemuan itu dan  menandatangani resolusi berkenaan, Najib mengarahkan mereka berdua untuk ke rumahnya bagi memaklumkan mengenai pertemuan di Istana Terengganu.

TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudian ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI