fbpx

Apabila rakyat cuba diperbodohkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada 12 Mac lalu telah menyaksikan Barisan Nasional (BN) telah menang ‘bergaya’ apabila bukan sahaja merampas kembali kerusi yang tewas tetapi juga kerusi tradisi parti lawan.

Melihat kepada rekod Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, BN Johor ketika itu hanya memperoleh 19 kerusi sekali gus membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Seperti kerajaan PH di peringkat Pusat yang goyah dan akhirnya tumbang, keadaan di Johor turut sama ranap menyebabkan terbentuk kerajaan negeri gabungan antara BN, parti Bersatu dan Pas.

Apa yang menarik selepas PRN Johor ialah keluarnya pelbagai analisis untuk memperlekeh kemenangan BN tersebut. Masing-masing cuba menunjukkan kepakaran memutar-belitkan nombor dan peratusan yang ada.

Kesimpulan daripada analisis itu ialah BN menang tetapi sebenarnya tidak menang! Dalam erti kata lain, walaupun menang, majoriti rakyat tidak pun menyokong BN.

Jika kita meneliti analisis-analisis ‘pakar’ tersebut mereka seolah-olah tidak boleh menerima hakikat bahawa BN telah berjaya memperoleh 40 kerusi pada PRN baru-baru ini. Jauh mengatasi berbanding 19 kerusi pada PRU-14.

Mereka juga seakan menolak sistem pilihan raya di Malaysia bahawa walaupun dengan kelebihan satu undi seseorang calon Dewan Undangan Negeri diiktiraf menang dan layak bergelar Yang Berhormat.

Sebagai pengetahuan, Malaysia mengamalkan sistem politik pelbagai parti dengan parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan atau negeri.

Sistem yang digunakan di Malaysia ini berasaskan ‘First-Past-The-Post-System’. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Sehubungan itu, analisis untuk memperlekeh kemenangan BN dilihat lebih kepada cubaan untuk memperlekeh undi rakyat yang memangkah BN sebagai calon wakil rakyat mereka.

Mereka yang membuang undi telah melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang kemudian membentuk kerajaan yang memerintah.

Jadi mengapa perlu berpusing-pusing membuat analisis dan andaian bahawa golongan yang tidak membuang undi baru-baru ini adalah 100 peratus tidak menyokong kerajaan BN?

Sewajarnya ahli-ahli politik yang tewas, pasukan kempen serta ‘bijak pandai’ mereka supaya ‘move on’ menerima hakikat yang ada dan cukuplah usaha memperbodohkan orang ramai sekali gus memperlekeh undi serta kerajaan yang mereka pilih.

Kita bimbang usaha seperti ini akan menyebabkan rakyat semakin bosan dengan tingkah laku orang politik yang setiap masa lebih menfokuskan kepada gerak kerja membunuh parti lawan berbanding usaha membina dan memajukan rakyat serta negara.

Rakyat akan mengundi lagi pada PRU-15. Mereka akan memilih calon dan parti terbaik untuk masa depan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI