fbpx

Shaza Bae mahu perjuang hak wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAZA BAE

REZEKI tidak pernah salah alamat. Frasa tersebut sememangnya teramat sesuai untuk menggambarkan perjalanan karier lakonan si tinggi lampai Shaza Bae yang semakin hari semakin dikenali industri.

Mungkin permulaannya agak perlahan tetapi apabila kerja keras yang dicurahnya mula dipandang ramai, dia berjaya mendakap rezeki dan impian yang diinginkan selama ini.

Jika disingkap semula, kerjayanya bermula sejak dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2019/2020 seterusnya menceburkan diri dalam dunia lakonan.

Berawal sebagai pelakon tambahan dalam drama popular Perempuan Tanpa Dosa bersama Uqasha Senrose dan Kamal Adli, kini Syaza berjaya meletakkn nama sebaris dengan heroin terkenal tanah air selepas diberi peluang memegang watak utama dalam beberapa buah drama seperti Jangan Ganggu Jodohku dan terbaharu Ulya & Dini.

BEKAS pengacara program Hero Remaja itu tidak sesekali mendabik dada dengan kejayaan yang diraih hari ini dan akan terus berusaha memperbaiki segala kelemahan diri.

‘Penat berbaloi’

Secara dasarnya, apa yang diraihnya pada hari ini nampak berjalan lancar tetapi realitinya, hanya empunya diri sahaja yang melaluinya.

“Tiada kata yang mampu saya ungkapkan untuk menggambarkan perjalanan karier ketika ini iaitu Alhamdulillah. Syukur kerana Tuhan beri rezeki tanpa henti.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka rezeki saya sederas ini selepas melalui fasa awal yang agak perlahan dua tahun lalu.

“Jangan cakap soal penat, memang tidak tergambar rasanya, tetapi semua itu berbaloi,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tutur pelakon berusia 27 tahun itu, untuk memiliki segala yang dimiliki hari ini memerlukan 1,001 pengorbanan nikmat hidup.

Namun, jauh di sudut hatinya, dia tidak pernah terlepas walau sekali pun bersyukur dengan setiap perkara yang meskipun terpaksa meninggalkan sebentar kehidupan sosialnya.

“Sejujurnya saya tidak sangka diberi kepercayaan untuk memegang watak heroin walaupun usia sebagai pelakon masih hijau.

“Untuk dapat seperti hari ini, banyak yang saya telah korbankan.

“Waktu tidur, masa dengan kawan-kawan dan waktu untuk diri sendiri.

“Tapi saya tak pernah menyesal dan ternyata Tuhan Maha Baik. Harap semua kerja keras ini berjaya mengukuhkan lagi nama dalam industri,” tuturnya bersyukur.

FOTO: IHSAN @shazabae @blackpepperproduction Solekan @makeupbydeqsha @kasihcicie Stai @xeliciousxass @rizmanruzaini

Hak wanita

Setiap pelakon mempunyai karakter dan genre filem idaman yang hendak diterajuinya begitu juga yang diimpikan pemilik nama penuh Shaza Nuriman Mohamad Zamri itu.

“Saya nak berlakon dalam filem atau drama aksi. Mahu pegang watak yang lasak dan menonjolkan kehebatan seorang wanita.

“Kalau boleh nak lari daripada watak skeptikal sebab di Malaysia kurang karakter sebegitu,” ujarnya.

Ditanya lanjut tentang karakter impiannya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, filem atau drama yang memaparkan kehebatan kaum Hawa seperti biopik tokoh atau ikon wanita kurang diterbitkan menerusi karya seni.

“Kita sangat kurang kisah-kisah yang memaparkan kekuatan wanita. Kerap sangat tentang perempuan teraniaya.

“Ditambah pula saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, jadi perasaan untuk menonjolkan kuasa wanita dalam lakonan sangat membuak-buak.

“Harap impian ini terlaksana satu hari nanti,” tutur wanita tinggi lampai itu dengan nada teruja.

DIBERI kepercayaan memegang watak utama dalam Ulya & Dini, Shaza juga berasa bertuah dapat bergandingan dengan Hun Haqeem yang disifatkan pelakon berbakat besar.

Ulya & Dini

Berkongsi mengenai watak Ulya dalam drama terbaharunya, Shaza menyifatkan karakter tersebut mengajarnya untuk sentiasa bersyukur.

“Ulya berperang dengan pemikiran dan penyakit Bulimia kerana pernah dibuli disebabkan faktor berat badan.

“Jadi, drama ini mengajar penonton untuk tidak membuli mental seseorang berdasarkan penampilan mereka. Setiap manusia itu cantik dari pelbagai aspek.

“Ingin saya tegaskan, tidak semestinya kurus itu cantik. Hakikatnya pemikiran tersebut ini yang masih berlegar-legar dalam masyarakat. Pada akhirnya, rupa tetap menjadi keutamaan umum dalam pelbagai hal.

“Ulya & Dini bukan hanya drama kosong tetapi sebenarnya sarat dengan mesej tentang isu masyarakat hari ini,” katanya seraya mengakhiri perbualan.

DIBESARKAN oleh seorang ibu tunggal, Shaza mengakui jiwanya sangat terkesan setiap kali membaca berita mengenai keganasan rumah tangga atau melibatkan penganiayaan terhadap golongan wanita.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI