fbpx

Pasangan viral terima geran Proton Persona hadiah nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Firdaus menyerahkan geran Proton Persona kepada Mohd. Azlan dan Norhidayu selepas selesai melangsungkan pernikahan di Masjid Al-Maarufi di Seberang Kota, Kuala Kedah, semalam.

ALOR SETAR – “Bila dah bagi sebagai hadiah, tak bolehlah nak ambil balik kerana ia untuk kegunaan bayi dan urusan Azlan sekeluarga”.

Demikian kata pengusaha sebuah kedai menjual kenderaan terpakai di Jalan Langgar, di sini, Firdaus Sharifuddin, 37, selepas menyerahkan geran dan cukai jalan kereta jenis Proton Persona kepada Mohd. Azlan Ishak, 36, semalam.

Mohd. Azlan dan Norhidayu Halim, 35, yang merupakan pasangan tular selepas membawa bayi berusia 11 bulan menaiki motosikal dengan memakai alat pernafasan selamat melangsungkan pernikahan di Masjid Al-Maarufi di Seberang Kota, Kuala Kedah, di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.

Menurut Firdaus, dia menyerahkan geran kereta tersebut yang telah ditukar nama kepada Mohd. Azlan selepas selesai majlis pernikahan tersebut.

“Selain geran kereta, saya juga hadiahkan buku panduan lengkap solat serta berkaitan soal jawab agama sempena pernikahan mereka.

“Saya ucapkan tahniah kepada Azlan dan isteri, semoga hubungan kekal sehingga ke jannah. Jaga bayi elok-elok kerana anak itu anugerah dan juga ujian daripada Tuhan, selepas ini urus hidup ke jalan yang betul,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Al-Maarufi, di sini semalam.

Katanya, Proton Persona itu merupakan hadiah daripadanya untuk kegunaan Mohd. Azlan sekeluarga terutama berkaitan urusan anak-anaknya.

“Kereta ini untuk kegunaan bayi dan urusan Azlan, nak pergi ‘honeymoon’ selepas ini pun boleh. Tujuan beri kereta ini untuk bantu anak dan apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah silam dan hari ini sudah diperbetulkan balik,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Azlan berkata, dia langsung tidak menyangka menerima hadiah berupa sebuah kereta.

“Saya tidak sangka langsung dan pada awalnya saya rasa macam bermimpi. Kereta ini saya akan guna sebaiknya untuk kegunaan anak yang sakit dan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI