fbpx

Polis rakam keterangan APM, tukang sebar video ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan seorang anggota APM ingkar arahan Ketua Polis Daerah Ampang yang juga Komander Operasi Bencana di lokasi kejadian tanah runtuh, Taman Bukit Permai 2, Ampang.

AMPANG – Polis telah merakam keterangan seorang individu berhubung video tular dakwaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ingkar arahan operasi tanah runtuh Taman Bukit Permai, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek utama tersebut telah dipanggil dan diambil keterangan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 8 malam semalam.

“Lelaki berumur 38 tahun itu merupakan seorang setiausaha sulit kanan di salah satu kementerian yang dilantik sebagai anggota APM dan dia dibenarkan pulang pada pukul 11 malam selepas keterangan selesai direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lima lagi individu terdiri daripada pegawai dan anggota APM Hulu Langat akan hadir ke IPD Ampang Jaya sekitar pukul 1 petang untuk dirakam keterangan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seorang lelaki yang dipercayai individu yang menyebarkan video sehingga viral sudah ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD Ampang Jaya, semalam.

“Suspek yang merupakan penyebar video viral tersebut bekerja sebagai pengawal keselamatan dan merupakan anggota sukarelawan APM telah hadir ke IPD Ampang Jaya kira-kira pukul 4.30 petang dan suspek bagaimanapun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine serta memiliki aplikasi judi online dalam telefon bimbitnya.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk permohonan reman dan dibenarkan reman selama tiga hari,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI