fbpx

Onn Hafiz dilantik Menteri Besar ke-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz.

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi sah dilantik Menteri Besar Johor ke-19.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar itu di Istana Bukit Serene kira-kira pukul 3 petang hari ini.

Namun masih belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung pelantikan itu.

Kenderaan rasmi Menteri Besar jenis Audi bernombor pendaftaran JRB 1 kelihatan meninggalkan pekarangan istana kira-kira pukul 3.37 petang.

Onn Hafiz turut sempat melambai tangan kepada pengamal media yang ketika itu menunggu dalam keadaan hujan.

Sejak semalam, isu pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat dan juga parti politik susulan terdapat tiga nama disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.

Ketiga-tiga mereka ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi.

Onn Hafiz, 44, adalah individu paling hampir dengan spekulasi tersebut kerana beliau merupakan pemimpin muda dan berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Hasni sejak Mac 2020.

Malah, teka-teki itu semakin terjawab apabila Hasni dalam kenyataan lewat petang semalam memaklumkan beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkan mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan itu antara calon muda yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu. -KOSMO!
ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI