fbpx

Najib mohon kes dana SRC dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memohon supaya kes dana RM42 juta milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn. Bhd. yang telah disabitkan ke atasnya dibicarakan semula di mahkamah tinggi.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui media di Mahkamah Persekutuan sini hari ini.

Menurut peguam itu, permohonan tersebut akan dibuat dengan alasan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes terbabit.

Muhammad Shafee berkata, ia berikutan terdapat dakwaan bahawa Mohd. Nazlan terbabit dalam permohonan pinjaman syarikat berkaitan 1MDB ketika berkhidmat sebagai setiausaha syarikat Maybank dan penasihat undang-undang kumpulan bank itu.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Semalam, Muhammad Shafee memberitahu Mohd. Nazlan sepatutnya mendedahkan jawatan terdahulunya di Maybank pada tahun 2012.

Muhammad Shafee berkata, terdapat lebih RM4 bilion pinjaman Maybank kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong Energy Sdn.Bhd. yang melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (lembaga pengarah Maybank).

Katanya, salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapatkan arahan adalah Mohd. Nazlan selaku ketua undang-undang, penasihat undang-undang kumpulan dan ketua bahagian korporat serta undang-undang.

Katanya, susulan itu pihaknya akan memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.

Terdahulu Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel di Mahkamah Persekutuan hari ini turut mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC.

Rayuan akhir itu mengenai dakwaan mendakwa Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Muhammad Shafee dalam hujahannya, mencadangkan tiga pilihan kepada mahkamah untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu itu.

Peguam itu berkata, pilihan pertama adalah supaya permohonan itu didengar oleh panel mahkamah rayuan baharu di mana panel itu akan turut memutuskan rayuan akhir SRC.

Pilihan kedua ialah supaya pihaknya memfailkan permohonan baharu di mahkamah rayuan dan didengar panel lain. Sementara pilihan ketiga ialah Mahkamah Persekutuan boleh mengarahkan Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan itu yang secara langsung.

Selain Tengku Maimun, empat lagi panel hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI