fbpx

Biden lulus bantuan ketenteraan tambahan RM838.9 juta kepada Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG tentera Ukraine memegang senjata anti-kereta kebal yang digunakan untuk memusnahkan kapal berperisai Rusia di Irpin, utara Kiev kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kelmarin meluluskan bantuan dana ketenteraan tambahan berjumlah AS$200 juta (RM838.9 juta) kepada Ukraine yang terdiri daripada senjata serta kemudahan lain, lapor akhbar South China Morning Post semalam.

Ia menjadikan bantuan keselamatan AS yang diberikan kepada Ukraine kini berjumlah AS$1.2 bilion (RM5.033 bilion) sejak Januari 2021.

Secara keseluruhan, dana berjumlah AS$3.2 bilion (RM13.4 bilion) telah disediakan sejak 2014 ketika Rusia dilaporkan mengambil alih wilayah Crimea, demikian menurut pegawai kanan pentadbiran.

Dalam memorandum kepada Setiausaha Negara, Antony Blinken, Biden mengarahkan sehingga AS$200 juta (RM838.9 juta) yang diperuntukkan melalui Akta Bantuan Asing diluluskan untuk pertahanan Ukraine.

Dana itu boleh digunakan untuk bekalan senjata dan pertahanan lain selain pendidikan serta latihan ketenteraan bagi membantu negara itu.

Ukraine sebelum ini telah meminta lebih banyak senjata anti-kereta kebal Javelin dan peluru berpandu Stinger untuk menembak jatuh pesawat Rusia.

Menteri Luarnya, Dmytro Kuleba kelmarin menggariskan keperluan negara itu bagi bekalan tentera tambahan dalam satu temu bual dengan organisasi bukan keuntungan, Renew Democracy Initiative.

AS telah menggunakan bekalannya untuk disalurkan kepada Ukraine berulang kali yang bermula pada musim luruh 2021 dan sekali lagi pada Disember tahun lalu serta Februari lepas.

Kumpulan terakhir senjata yang disediakan oleh AS pada Februari adalah termasuk anti-perisai, senjata kecil, perisai badan dan pelbagai amunisi termasuk sistem anti-pesawat untuk menyokong barisan hadapan pertahanan Ukraine, kata Pentagon. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI