fbpx

Tulus tetap ‘manusia’ kebanggaan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TULUS berkongsi diskografi keempat yang diberi judul Manusia pada 3 Mac lalu selepas enam tahun vakum membikin album studio.

PENYANYI kebanggaan Indonesia, Tulus muncul dengan diskografi keempatnya diberi judul Manusia sejak 3 Mac lalu.

Memuatkan 10 buah trek, album studio berkenaan bukan hanya mengubat kerinduan para pemuja penyanyi itu tetapi turut hadir dengan kualiti tersendiri yang layak diraikan seluruh peminat muzijk.

Secara peribadi, tidak keterlaluan andai disifatkan bahawa album tersebut merupakan antara perkongsian muzik paling bermakna dan memberi simbolik tersendiri buat para peminat.

Senang cerita, Manusia merupakan antara album terbaik pernah dihasilkan Tulus. Antara yang terbaik kerana Monokrom yang diluncurkan pada 2016 adalah album kegemaran penulis daripada penyanyi itu.

Dimulakan dengan trek pertama berjudul Tujuh Belas, Tulus terus membuktikan kepada dunia terutama Nusantara bahawa dirinya sememangnya antara pemuzik dan penyanyi terbaik zaman sekarang.

Karya tulisan atau gubahannya tidak bersifat tipikal. Tujuh Belas yang merupakan hasil tulisan diri dan Petra Sihombong bercerita tentang kehidupan. Apa dan siapa diri kita semua saat berusia 17 tahun. Itu tamparan dan peringatan diberikan lagu berkenaan.

Orkestra, terbaik

Muzik yang bagus dan disempurnakan daripada pelbagai segi. Buat penggemar Tulus, pasti cakna benar bahawa dia sentiasa hadir dengan karya yang ‘mahal’. Untuk mencapai piawaian mahal, unsur atau elemen orkestra sentiasa diadun bersama dan itu terkandung dalam Tujuh Belas, antara lagu kegemaran penulis dalam album kali ini.

Selain Tujuh Belas yang mudah melekat di minda, ada beberapa karya lain yang impaknya sama iaitu Nala, Hati-Hati di Jalan dan Satu Kali.

Keempat-empat lagu yang disebut merupakan kegemaran peribadi dengan lagu-lagu yang tidak disebutkan juga meninggalkan kesan luar biasa.

Nala yang berentak perlahan atau balada membuatkan penulis berfikir-fikir sebagaimana judulnya. Dimulakan dengan petikan gitar, barangkali lagu berkenaan merupakan antara balada terbaik pernah dihasilkan Tulus. Pamit kekal nombor satu di jiwa.

Satu yang istimewa tentang Tulus, dia sentiasa membikin pendengar ingin tahu lebih mendalam tentang apa yang ditulisnya. Nala satu istilah yang asing buat orang Malaysia, namun penyanyi berkenaan membikin kita ingin belajar. Belajar tentang kosa kata dan definisi apa yang berkumandang.

Terbayang mengamati bait-bait lirik Nala saat kedinginan malam melihat butir-butir bintang di angkasa. Itu antara ‘vibe’ atau energi tatkala mendengar lagu berkenaan.

BUKAN hanya mencanang tema cinta, Tulus juga setia dengan tujuan muziknya yang memberi motivasi, semangat dan apresiasi terhadap kehidupan.

Tentang kehidupan, motivasi

Dari segi susunan muzik, secara keseluruhan, Manusia merupakan antara produk terkuat yang pernah lahir daripada katalog Tulus dan perkara itu diperkukuh dengan sebuah karya berjudul Hati-Hati di Jalan.

Dicipta Ari Renaldi dan Tulus sendiri, lagu berkenaan berkisar tentang cinta, namun tidak kedengaran terlalu ‘cheesy’. Lagu berkenaan memberi peringatan kepada kita bahawa biarpun tidak lagi berjodoh, tiada kekangan untuk mengucapkan yang baik-baik buat si mantan. Doakan sahaja si dia yang baik-baik di jalan.

Dari segi nukilan lirik, Hati-Hati di Jalan merupakan antara yang paling puitis antara sembilan lagu dimuatkan walaupun judulnya yang berbunyi ‘Hati-Hati di Jalan’. Tulus sememangnya seorang pemuzik tahu benar apa yang ingin dikongsikan kepada pendengar dan membuat kita rasa dekat dengan tulisannya.

Penutupnya, Satu Kali merupakan antem paling tepat untuk menutup episod muzik Tulus kali ini. Lagu terbabit memberi suara kepada bahawa dalam hidup ini, kita hanya perlu buat yang terbaik kerana menjadi muda dan tua, hanya sekali.

Rasa bersemangat untuk meneruskan kehidupan usai mendengar Satu Kali. Impaknya lebih kurang sama seperti Manusia Kuat yang terkandung dalam Monokrom enam tahun lalu.

Indonesia sebetulnya sangat berbangga mempunyai pemuzik seperti Tulus yang bukan hanya mengutip eksploitasi tentang perihal paling lazim dalam dunia iaitu tentang cinta.

Tulus seorang pemuzik yang menyorak motivasi, menjadikan cabang seni tersebut sebagai satu cara bercerita dan berkongsi rasa hati paling dalam dengan orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI