fbpx
KEDUA-DUA negara itu mempunyai senjata nuklear. - AFP

India tidak sengaja lancar peluru berpandu ke Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI – India dilaporkan tanpa sengaja melancarkan sebuah peluru berpandu ke Pakistan pada Rabu lalu dengan New Delhi menyalahkan insiden tersebut kepada ‘kerosakan teknikal’ semasa operasi penyelenggaraan, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

India juga menyuarakan kekesalan berhubung kejadian itu dan lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

Tentera Pakistan pula memaklumkan, peluru berpandu tersebut jatuh dekat bandar Mian Channu, timur Pakistan, manakala laluannya di udara telah membahayakan penerbangan komersial. 

“Pada 9 Mac lalu, semasa penyelenggaraan rutin, kerosakan teknikal menyebabkan sebuah peluru berpandu dilancarkan secara tidak sengaja. Kerajaan India memandang serius dan mengarahkan siasatan rasmi dijalankan,’’ demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India.

“Islamabad memberi amaran kepada New Delhi untuk lebih berhati-hati dan mengelak insiden serupa daripada berulang. Peluru berpandu itu dilancarkan dari bandar Sirsa dalam negeri Haryana,’’ tambah kenyataan sama.

Tentera udara Pakistan berkata, peluru berpandu itu bergerak pada kelajuan 3,704.4 kilometer sejam atau tiga kali ganda kelajuan bunyi. Ia  bergerak pada ketinggian 12,000 meter sejauh 124 kilometer di ruang udara Pakistan sebelum jatuh.

“Laluan penerbangan objek itu membahayakan banyak pesawat komersial dari dalam dan luar negara, sama ada di ruang udara India mahupun Pakistan. Kesilapan ini melibatkan risiko nyawa manusia dan harta benda,’’ kata jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Babar Iftikharon pada Khamis lalu.

Kementerian luar Pakistan kelmarin berkata, pihaknya telah memanggil wakil kedutaan India untuk mengadu mengenai insiden berkenaan. 

Pakistan juga menggesa India untuk berkongsi hasil siasatannya terhadap apa yang berlaku. – Agensi

POPULAR