fbpx

Penyakit berangkai masih jadi pembunuh senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELALU periksa kandungan gula dalam darah untuk mengelakkan diri daripada terkena diabetes yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular lain. – gambar hiasan

COVID-19 melanda dan menghantui kita sejak awal 2020 hingga ke hari ini.

Ia memberi kesan teruk kepada sistem kesihatan sehinggakan penyakit berbahaya lain seakan-akan ‘ditolak’ dan ‘dipandang sepi’ dek terpaksa menguruskan penularan kes Covid-19 yang meningkat setiap hari.

Ini disebabkan keterpaksaan pihak Kementerian Kesihatan mengurus pesakit Covid-19 yang mencecah puluhan ribuan kes sehari dan kakitangan kesihatan tidak menang tangan mengendalikan kes terutama di hospital pada ketika itu.

Justeru, ketika sibuk mendepani cabaran pandemik Covid-19, kita tidak boleh leka dengan ancaman penyakit kronik berangkai seperti darah tinggi, kolesterol, obesiti dan jantung.

Kesemuanya berisiko mengakibatkan penyakit kardiovaskular yang mengancam nyawa.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar amat gusar kerana Malaysia dikategorikan sebagai negara tidak sihat.

Kesedaran mengenai aspek kesihatan yang masih rendah dalam kalangan rakyat adalah antara faktor utama terjadinya perkara sedemikian.

Ini berdasarkan statistik yang menunjukkan, Malaysia antara negara tertinggi dalam beberapa masalah kesihatan termasuk penyakit kronik iaitu diabetes, darah tinggi, kolesterol, masalah obesiti dan jantung.

Laporan tinjauan Morbiditi Peringkat Kebangsaan 2019 (National Morbidity Survey 2019) melaporkan, sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia mempunyai tiga faktor risiko utama yang terdiri daripada darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.

Laporan tersebut juga menunjukkan, seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes, tiga daripada 10 orang pula mempunyai darah tinggi dan empat daripada 10 individu mengalami kolesterol tinggi.

Kesemua ini ada kaitan dengan penyakit berangkai yang bermaksud, jika seseorang mengalami salah satu daripadanya, maka risiko mendapat penyakit kronik lain amat tinggi.

Jarang sekali kita dapati, seseorang hanya mendapat satu sahaja, contohnya diabetes tanpa mendapat darah tinggi, kolesterol mahupun sakit jantung.

Penyakit diabetes merupakan penyakit kronik yang sangat bahaya sehinggakan ia digelar sebagai pembunuh senyap.

Ini kerana, seseorang itu tidak berasa sakit walaupun darah mereka sudah tinggi dengan kandungan gula.

Kajian menunjukkan, tempoh senyap atau masa tanpa gejala itu adalah lebih daripada lima tahun sebelum seseorang dikesan mendapat diabetes jenis 2.

Begitu juga dengan penyakit darah tinggi yang kebanyakan pesakit tidak sedar yang mereka sebenarnya sudah lama mendapatnya sebelum dikesan.

Apabila penyakit tersebut sebenarnya telah lama ‘bertapak’ dalam badan, maka komplikasi disebabkan oleh gula dan darah yang tinggi akan merosakkan organ dalaman termasuk jantung, otak, sistem saraf, mata dan buah pinggang.

Penyakit kolesterol tinggi pun begitu.Bagi penyakit jantung pula, ia biasanya disebabkan kesan diberikan oleh penyakit darah tinggi dan kolesterol akibat gaya hidup tidak sihat.

Kemunculan makanan dan minuman tinggi kandungan gula dan lemak sememangnya mencuri tumpuan pelanggan untuk menikmatinya.

Sedap dijamah, namun tanpa kesedaran tinggi tentang wajibnya menjaga kesihatan, kita akan terjerumus dalam kategori berisiko mendapat penyakit berangkai.

Jangan terpedaya kononnya kita tidak berisiko kerana tidak obes dan tiada sejarah keluarga yang mempunyai penyakit berangkai.

Perlu diingat, gaya hidup tidak sihat semakin menjadi faktor utama seseorang menghidap penyakit berangkai ini.

Semakin ramai pesakit kolesterol tinggi mempunyai jisim berat badan yang optimum dan ramai juga pesakit jantung dialami oleh orang muda.

Kehilangan organ penting seperti buta dan kudung anggota badan disebabkan komplikasi diabetes amat biasa dihadapi, seterusnya mengakibatkan pesakit tidak dapat bertugas seperti sebelumnya.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia, wajiblah kita menjaga kesihatan sebaik mungkin.

Berjumpalah dengan doktor bagi mengesan penyakit berangkai ini kerana pengesanan di peringkat awal banyak manfaatnya, di samping kita rasa lebih yakin menempuh hari-hari mendatang.

Teruskan gaya hidup sihat agar dijauhi penyakit berangkai yang boleh meragut nyawa kita pada bila-bila masa sahaja.

 

Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A Rashid ialah Pensyarah Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI