Seorang ibu kini terlantar sakit tenat di atas katil. Bagaimana cara bagi anak-anak memudahkan dia bersolat dan bolehkah dia jamakkan solatnya?
Jawapan:
Seseorang boleh meminta orang lain membantunya berwuduk seperti membawa air kepadanya atau mencurahkan air ke atas anggota wuduknya. Bahkan boleh meratakan air pada anggota wuduk orang yang memerlukan bantuan.
Dalam hadis al-Mughirah bin Syu’bah menceritakan:“Sesungguhnya beliau pernah bersama Rasulullah s.a.w dalam satu permusafiran. Baginda pergi membuang air. (Selepas itu) Mughirah menuang air untuk Baginda semasa berwuduk. Baginda membasuh wajahnya, kedua tangannya, menyapu kepalanya dan menyapu kedua khuf.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Al-Imam al-Bukhari meletakkan tajuk hadis ini ‘Bab seseorang membantu temannya berwuduk’. Hadis ini menunjukkan, kita boleh meminta bantuan orang lain semasa berwuduk.
Adapun menyapu atau meratakan air pada anggota wuduk dengan bantuan orang lain, kalangan para ulama memakruhkannya jika tiada keperluan berbuat demikian.
Ini disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim (lihat: 3/509. Beirut: Dar al-Khair)
Adapun waktu solat bagi orang sakit, jika tidak menjadi bebanan kepadanya untuk menunaikan setiap solat mengikut waktu, maka hendaklah dia melakukan demikian. Ini kerana, itulah kewajiban yang asal.
Jika tidak, orang yang sakit boleh melakukan jamak (menghimpun dua solat) tanpa qasar (memendekkan).
Jamak itu bermaksud menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah Zuhur bersama Asar dan Maghrib bersama Isyak.
Boleh dihimpun pada waktu solat pertama atau yang kedua. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat.
Peruntukan qasar hanya diizinkan untuk mereka yang bermusafir, tidak untuk yang sakit.
Adapun jamak, ia lebih luas. Seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu seperti hujan, ketakutan ancaman, kesibukan melampau dan seumpamanya.
Dalam hadis al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir.” Kata Abu Zubair:
“Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?” Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak terbeban.”
Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya: “Rasulullah s.a.w solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan.”
Hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w telah menjamakkan solat bukan hanya disebabkan hujan ataupun ketakutan, juga disebabkan hal-hal yang lain.
Maka, kalangan fuqaha (ulama fekah) menyimpulkan, solat jamak boleh dilakukan disebabkan dengan keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkan atau hujan bagi mereka bersolat berjamaah di masjid, kesempitan waktu disebabkan urusan dan seumpamanya.
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Dalam kalangan para imam berpendapat, boleh menjamakkan solat ketika di tempat tinggal (tidak bermusafir), jika ada keperluan bagi sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan.” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 5/335).
Maka, orang yang sakit yang sukar untuk menunaikan solat atau berwuduk, boleh menjamakkan solat jika dia mahu. Anak-anak boleh membantunya memudahkan hal itu.















