fbpx

Kebocoran radiasi ancam Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat kira-kira 20,000 pemasangan bahan api terpakai yang tidak dapat disejukkan di loji Chernobyl dalam keadaan gangguan bekalan elektrik. – Getty

KIEV – Pihak berkuasa Ukraine memberi amaran bahawa rantau  Eropah berdepan risiko kebocoran radiasi yang dahsyat selepas tentera Rusia dilaporkan memutuskan bekalan elektrik ke loji nuklear Chernobyl, lapor akhbar The Sun.

Loji  ditawan oleh tentera Vladimir Putin pada bulan lepas itu terputus bekalan elektrik selepas tentera Rusia didakwa memotong talian yang menghubungkannya dengan grid nasional Ukraine kelmarin.

Kuasa berterusan diperlukan untuk menyejukkan batang bahan api nuklear  di loji yang pernah menjadi tapak berlakunya bencana nuklear terburuk pada 1986 itu.

Menurut beberapa pegawai, penjana kecemasan yang ada hanya mampu membekalkan tenaga elektrik untuk seketika sebelum kehabisan diesel dalam masa 48 jam.

“Selepas kehabisan diesel, sistem penyejukan di kemudahan penyimpanan untuk bahan api nuklear terpakai akan terhenti dan boleh mengakibatkan kebocoran radiasi,” kata Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba.

Sementara itu, Pemangku Presiden Energoatom, Petro Kotin berkata, cuaca sejuk di Ukraine bagaimanapun boleh membantu memastikan sisa nuklear di loji itu kekal stabil.

“Kini, semuanya bergantung kepada suhu keadaan sekeliling. Suhu agak sejuk kini dan dalam keadaan seperti itu, proses penyejukkan boleh berlaku untuk kira-kira tujuh hari tanpa sebarang kesan serius,” ujarnya.

Syarikat nuklear milik Ukraine itu sebelum ini berkata, sekiranya gangguan bekalan elektrik menyebabkan kebocoran radiasi, awan radioaktif berkemungkinan akan disebarkan oleh angin ke wilayah-wilayah di Ukraine termasuk ke Belarus, Rusia dan Eropah.

Ia menambah, terdapat kira-kira 20,000 pemasangan bahan api terpakai yang tidak dapat disejukkan dalam keadaan gangguan bekalan elektrik itu.

Tanpa tenaga elektrik, pakar-pakar bimbang sistem pengudaraan di loji akan turut berhenti berfungsi, seterusnya mendedahkan kakitangan Chernobyl kepada dos radiasi yang berbahaya.

Ekoran itu, Kuleba menggesa agar gencatan senjata segera dilakukan oleh Rusia bagi membolehkan pasukan jurutera masuk ke dalam loji Chernobyl untuk memulihkan talian kuasa utama.

Dalam pada itu, badan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa berkata, Rusia telah melanggar tonggak keselamatan utama dalam memastikan bekalan kuasa tidak terganggu.

Bagaimanapun, agensi itu menambah setakat ini, tiada sebarang kesan kritikal ke atas keselamatan, sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai kebocoran radiasi.

“Beban haba kolam simpanan bahan api terpakai dan isi padu air penyejuk yang terkandung di dalam kolam adalah mencukupi untuk mengekalkan penyingkiran haba yang berkesan tanpa memerlukan bekalan elektrik,” katanya.

Pihak berkuasa Ukraine mendakwa bahawa kakitangan loji Chernobyl dijadikan tebusan dan ditawan di loji itu dalam keadaan yang teruk selepas tentera Rusia mengambil alih kemudahan tersebut bulan lepas.

Mereka dikatakan dipaksa bekerja 13 hari tanpa henti, yang menambah lagi kerisauan terhadap isu keselamatan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI