fbpx

Pelukan Angkasa miliki kualiti muzik, persembahan juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAM kemuncak AJL36 pada Ahad lalu menyaksikan lagu nyanyian kumpulan indie, Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Shila Amzah berjudul Pelukan Angkasa dinobat selaku Juara Lagu.

ACARA muzik paling berprestij tanah air, Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) melabuhkan tirai dengan kemenangan berpihak kepada karya ciptaan Fazleena Hishamuddin dan Raja Nazrin Shah Raja Azaham, Pelukan Angkasa yang dijulang sebagai juara keseluruhan.

Sebenarnya, kemenangan lagu dendangan band underground, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah tersebut bukan satu perkara yang mengejutkan. Sedari awal, golongan yang ‘dekat’ dengan industri, tahu bahawa karya terbabit mempunyai peluang besar untuk mencipta magis di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Kelainan komposisi muzik, nukilan lirik puitis dan ditambah dengan persembahan pentas berserta iringan orkestra pada malam persembahan, termasuk gabungan mantap antara SOG dan Shila terus mengunci trofi juara untuk mereka buat julung-julung kalinya dalam karier seni muzik masing-masing.

Perihal berkenaan diperakui ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail yang menjelaskan, Pelukan Angkasa memiliki kualiti luar biasa sehingga layak diangkat sebagai juara keseluruhan edisi kali ini.

Kualiti luar biasa juara

Kata Mokhzani, penganjuran AJL36 kali ini diserikan dengan penglibatan banyak karya hebat tanah air berlainan genre, namun Pelukan Angkasa terkandung kualiti dan simbolik tersendiri.

PASUKAN Pelukan Angkasa menjadi penerima hadiah terbesar dalam sejarah penganjuran AJL dengan wang tunai RM100,000 berserta trofi bersalut emas yang kali pertama diperkenalkan pada AJL36.

“Setiap tahun, juri akan mencari kelainan yang bermutu dan kita dapat lihat edisi kali ini, ada pelbagai genre lagu dipertandingkan. Genre balada ada enam, etnik kreatif dua, selebihnya hip-hop dan sebagainya.

“Apabila Pelukan Angkasa datang dengan sesuatu yang baharu, itu yang membuatkan kami (juri) untuk meletakkan lagu berkenaan di tangga atas. Pun begitu, dengan syarat pada malam persembahan kualiti mereka pamerkan sebagai juara.

“Berdasarkan persembahan, banyak elemen yang kami lihat, Pelukan Angkasa memenuhi kriteria. Dari segi harmoni, unsur tradisional dan gabungan chemistry dicetuskan.

“Selalunya, dalam band, seorang dua sahaja yang bagus. Penyanyi bagus dan yang lain hanya back up (membantu).

“Tapi semua yang terlibat dalam Pelukan Angkasa memainkan peranan yang baik termasuklah penyanyi, pemain flute dan dram. Mereka datang sebagai satu pakej yang lengkap menukar landskap dan suasana. Kali ini kita pilih lagu daripada kumpulan indie,” katanya kepada HibGlam.

Selain Pelukan Angkasa, Cinta (naib juara) dan Mimpi (tempat ketiga), Mokhzani juga mendedahkan, terdapat dua lagi lagu lain yang melengkapkan senarai lima teratas.

Dua lagu yang dimaksudkan adalah Nafas Cinta ciptaan Aina Abdul dan Khai Bahar serta Salahku ciptaan Yonnyboii.

Vokal terbaik, sengit tipis

Menyentuh tentang pemilihan vokal terbaik yang menjadi milik Aina Abdul, Mokhzani berkata, perbezaan markah antara Aina dan seorang lagi penyanyi, Marsha Milan adalah sangat tipis.

“Kita melihat dari kesemua sudut nyanyian. Kadang-kadang, jeritan penonton itu tidak membantu. Jadi, kita lebih tahu dan telinga kita lebih peka tentang teknik-teknik nyanyian.

“Saya juga mendapat bantuan seorang guru vokal iaitu Datuk Syafinaz dalam penjurian. Teknik vokal itu kita perlu lihat lebih meluas berbanding sekadar melontarkan nyanyian di atas pentas,” katanya.

MEMASUKI edisi ketiga AJL dalam hayat kariernya, baru tahun ini Aina Abdul berjaya menggenggam trofi Vokal Terbaik AJL36 menerusi lagu Sepi.

Tidak menjangka dinobatkan sebagai juara keseluruhan, SOG diwakili Raja Nazrin memaklumkan, sebagai kumpulan, mereka bekerja bersungguh-sungguh sejak hampir 20 tahun lalu, namun baru sekarang rezeki memihak kepada mereka.

“Kalau nak kata satu-satunya band yang bertanding, ya betul tapi kalau lagu yang dibawa tak sedap, takkan menang. Kami memang target nak menang (jadi juara),” kata Raja Nazrin.

Ditebak tentang pencarian pemuzik seperti mereka yang masih menelusuri titi kecil berstatus underground dan tidak dipandang serius, jawab salah seorang anggota SOG, MK Ridzuan: “Macam SOG sendiri, apa yang kami persembahkan, itu yang kami ada dan menjadi identiti.

“Kita ada klasikal, orkestra, gaya simfoni dan semua yang disebutkan itu sebagai representasi diri kami. Untuk mereka yang masih baru berjinak-jinak nak main muzik, jadilah diri sendiri dan tak perlu jadi orang lain.

“Itu yang membuatkan sesebuah karya itu unik. Hanya ada seorang di dunia ini dengan kualiti anda sendiri. Jadi, teruskan percaya kepada diri dan jadilah diri sendiri.”

Kesihatan ganggu

Dalam pada itu, Marsha Milan yang menang tempat kedua dan merangkul trofi Persembahan Terbaik berasa sangat bersyukur dan pada masa sama, terkejut dengan kejayaan diraih.

Pemilik nama lengkap Marsha Milan Londoh itu mengakui berdepan masalah batuk kesan jangkitan Covid-19 yang dialaminya sebelum ini.

Marsha yang juga masih dalam proses pemulihan daripada Covid-19 berkata, masalah batuk itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya.

MARSHA berdepan banyak dugaan termasuk masalah batuk teruk pada malam AJL36, namun masih unggul membawa pulang dua trofi, Persembahan Terbaik dan Naib Juara AJL36.

“Kalau diikutkan, saya kurang berpuas hati dengan persembahan sebab masih menahan batuk. Dalam banyak-banyak malam, malam ini (semalam) saya diduga dengan batuk ini.

“Sewaktu membuat persembahan, tiba-tiba pula tekak rasa gatal. Apa pun, semuanya sudah ditentukan,” katanya ketika ditemui usai tamat AJL36.

Jelas Marsha lagi, persiapannya menuju AJL36 bukanlah satu perjalanan mudah kerana pada asalnya lagu Cinta ‘hilang dari radar’.

“Masya-Allah, banyak ujian sepanjang persiapan untuk AJL36 ini. Ketika pembikinan, lagu ini pernah hilang dari sistem komputer. Namun, saya minta lagu ini disusun semula. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Memang ada ujian lain juga dari sudut kesihatan.

“Saya cuba berikan yang terbaik sehingga 200 peratus untuk menunjukkan kerja keras saya selama 16 tahun,” katanya.

Edisi kali ini juga menjadi saksi selepas tiga tahun penganjuran akhirnya, Aina Abdul berjaya merangkul trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Sepi. Mengulas tentang saingan hebat diterima daripada Marsha, Aina sangat menghormati penyanyi tersebut sedari dahulu lagi.

HAQIEM RUSLI berkongsi kegembiraan dengan penulis bersama lagu Mimpi, Datuk A. Aida apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga AJL36.

“Kalian dengar Marsha nyanyi macam mana? Waktu dia tengah buat persembahan, saya sedang tukar busana kedua. Saya terus kering tekak. Terus saya minum air (ketawa).

“Saya sangat menghormati Kak Marsha dan masih ingat lagi, saya antara peminatnya ketika dia dalam Akademi Fantasia. Saya selalu undi dia.

“Jadi, untuk bersama-sama dengannya dan dikatakan pesaing sengit dia, satu penghargaan buat saya. Alhamdulillah,” ujar Aina.

Secara keseluruhan, AJL36 membuktikan bahawa negara tidak ketandusan karya hebat dan berkualiti.

Kendatipun dikekangi permasalahan Covid-19, muzik sentiasa mengalir seperti derasnya aliran sungai dari pergunungan menuju ke muara.

Kejayaan SOG menerusi Pelukan Angkasa memberi kesedaran bahawa kadang-kadang, benda yang berkualiti tersembunyi di bawah celahan dahan yang hanya perlu diterbalikkan demi mendapat keadilan realiti sewajarnya.

Seperkara lagi buat penganjur, barangkali sudah tiba waktunya untuk membuat sedikit ‘rombakan’ atau ‘post-mortem’ besar-besaran demi memberi kualiti dari segi bunyi, persembahan pentas dan teknologi seiring arus moden dunia sekarang.

Rasa ‘terbelakang’ menjadi saksi bakat ‘papan atas’ tetapi kualiti dari segi teknikal masih tersepit seperti era 1990-an. Melaburlah sedikit demi anjakan dan kemajuan muzik sejagat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI