fbpx

Amylea Azizan rehatkan jiwa balada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kata Amylea, single Melepaskanmu merupakan luahan emosinya untuk tahun 2021 yang bercerita tentang kesedihan tatkala perlu melepaskan seseorang.

JIKA disebut satu persatu lagu-lagu ciptaan dan nyanyian pemilik nama lengkap Amylea Azizan, semua pasti jatuh cinta.

Melodi dan lirik yang dihasilkan, kebanyakannya cukup menyentuh jiwa. Ditambah pula, hampir semua lagu ciptaannya diangkat menjadi lagu tema drama popular tanah air.

Siapa sangka, 2022 adalah tahun ke-18 Amylea terbabit dalam bidang muzik dan seni suara tempatan. Dalam tempoh tersebut, selebriti kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga itu terus mencipta nama bukan saja sebagai penyanyi tapi juga komposer dan penulis lirik ternama.

Terbaharu, Amylea, 36, atau nama sebenarnya Amylea Azizan muncul dengan single Melepaskanmu. Lagu ciptaan sendiri sepenuh olehnya dan bakal mengisi drama berjudul Khilaf Asmara sebagai lagu tema.

Ramadan

Menerusi lagu ini, Amylea sekali lagi bekerjasama dengan syarikat produksi Radius One yang juga penerbit bagi drama Khilaf Asmara yang bakal ditayangkan TV3 pada Ramadan akan datang.

Amylea akan bergabung dengan kumpulan Masdo untuk projek muzik terbaharunya tidak lama lagi.

“Untuk drama Khilaf Asmara, kita ada dua lagu baharu. Lagu pertama adalah Melepaskanmu yang dinyanyikan oleh saya dan sebuah lagi bertajuk Khilaf Asmara nyanyian Shila Amzah.

“Selain itu, ada juga lagu lain yang dinyanyikan oleh beberapa artis lain.

“Saya selesa dengan Radius One kerana semuanya dipantau sangat teliti sama ada dari segi bunyi, visual dan penulisan skrip.

“Sebelum kita membuat rakaman, projek ini sudah dibincangkan sejak berbulan-bulan lagi dan itu membuatkan saya rasa sangat dihargai,” kata pelantun lagu Ku Berserah itu.

Disebabkan perihal tersebut, Amylea selesa untuk terus berkerjasama dengan pasukan yang sama iaitu Radius One.

“Sebab itu saya suka dan selesa bersama mereka. Saya suka tekankan yang saya bukan baharu dalam pembuatan lagu untuk drama. Saya sudah mula sejak 2007 lagi.

“Saya bukan komposer dan penyanyi baharu, ini adalah tahun ke-18 saya dalam industri. Jadi sudah tentu saya ingin pergi lebih jauh,” ujarnya.

PKP, rehat

Berkongsi mengenai single baharunya, Amylea berkata, lagu Melepaskanmu sepatutnya dilancarkan lebih awal pada Mac tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan.

“Lagu ini dijadualkan keluar pada Mac tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah industri kreatif mula dibenarkan beroperasi semula.

“Penulisan dan rakaman lagu ini pada tahun lepas dan semuanya sudah lama diperam. Jadi, lagu ini kita boleh katakan sebagai ‘campak belakang’ apa yang saya tulis berkenaan perasaan saya tahun lepas.

PEJAM celik, sudah 18 tahun Amylea menaburkan khidmatnya selaku penyanyi, penulis lirik dan komposer dengan menyaksikan banyak lagu-lagu ciptaannya diangkat menjadi runut bunyi drama popular.

“Sebab tahun ini saya sudah sediakan lagu lain yang berbeza ‘mood’ dan ‘vibe’. Saya mohon maaf kepada peminat dan pendengar yang sukakan lagu daripada saya kerana perlu menunggu terlalu lama. Banyak sangat dugaan tahun lepas sampai tak boleh nak keluarkan lagu.

“Jadi apa yang boleh dikatakan, lagu Melepaskanmu adalah pembuka tirai untuk beberapa lagi lagu yang saya tak sabar nak keluarkan.

“Jadi saya harap media dan juga penggemar muzik Malaysia boleh memberikan sokongan kepada saya selepas lagu Kendati tahun lepas,” katanya.

Dalam masa sama, Amylea berkata, lagu Melepaskanmu menjadi karya terakhir sebelum dia berehat seketika dari menghasilkan lagu berentak balada.

“Lagu ini berentak balada sama dengan jalan cerita drama ini. Mungkin selepas ini saya akan berehat sekejap daripada genre balada.

“Bukan saya tak mahu untuk buat genre lain tetapi perlu ikut kehendak kepada kesesuaian drama itu, jadi masih lagi berentak balada dan saya harap orang boleh terimanya,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI