fbpx

Akur arahan untuk kebaikan bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
EDDY HAMIDI, WARTAWAN EKSEKUTIF

PENINGKATAN jumlah kes Co­vid-19 yang melepasi angka 32,000 sejak akhir-akhir ini me­nimbulkan kebimbangan banyak pihak baik kerajaan mahupun rakyat.

Bagaimanapun, di sebalik kebimbangan itu, masih ada segelintir pihak yang dilihat seperti tidak terkesan dengan peningkatan angka tersebut dan merasakan ia sekadar angka yang tidak memberi kesan kepada mereka.

Tinjauan di laman media sosial mendapati, peningkatan kes yang dilaporkan setiap hari menjadi bahan gurauan netizen termasuk berkongsi premis dan kedai yang tidak ‘mudah dimasuki’ tanpa pemeriksaan ketat.

Timbalan Dekan Jaringan Penjanaan dan Alumni Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya berisiko menyumbang kepada peningkatan kes baharu.

“Melihatkan kepada isu ini, penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih serius sekiranya ia benar-benar berlaku dan perlu diberi perhatian kerana usaha melawan virus ini memerlukan penglibatan semua pihak.

“Lebih membimbangkan jika individu yang pergi ke premis-premis yang tidak membuat pemeriksaan ketat adalah mereka yang tidak divaksin dan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar beliau, sudah kerap kali kempen-kempen kesedaran dimainkan di semua platform se­perti akhbar, televisyen dan internet, namun mungkin kaedah yang lebih tegas perlu digunakan sekiranya jumlah kes positif semakin meningkat.

“Tambah bahaya jika individu ini adalah jenis yang enggan divaksin dan sengaja keluar rumah walaupun mengetahui bahawa mereka telah dijangkiti.

“Ketika ini kerajaan masih berlembut dengan memberi tempoh sehingga 31 Mac untuk rakyat lengkapkan dos penggalak, namun sekiranya kes positif masih mencatatkan peningkatan selepas itu, saya sendiri tidak pasti adakah tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada mereka yang masih berdegil,” ujar beliau.

Sementara itu, Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, cukup se­nang untuk seseorang itu mencari helah atau mengelak daripada mematuhi undang-undang, namun fikirkanlah apa akibatnya kepada diri sendiri.

“Ada sebab mengapa sesuatu arahan itu dikeluarkan dan dalam konteks ini, arahan me­n­yemak status vaksinasi, mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak adalah sebagai salah usaha untuk memerangi penularan virus Covid-19.

“Satu dunia melaksanakan perkara yang sama cuma kaedahnya berbeza berpandukan kepada faktor tertentu,” ujarnya.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) me­negaskan, masyarakat perlu memainkan peranan dalam usaha memerangi virus Covid-19 dan fahami mengapa peraturan serta prosedur operasi standard ini dikeluarkan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan kerajaan melaksanakan sesuatu inisiatif kerana ada agenda tertentu. Kita sendiri tahu bahawa satu dunia sedang melaksanakan perkara sama.

“Jujur pada diri sendiri dan akur pada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib untuk mengawal selia isu-isu kesihatan termasuklah pemberian vaksinasi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI