fbpx

Malaysia bakal laksana VTL udara dengan Thailand, Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wee Ka Siong (tiga kiri) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian SJKC Cheah Fah, di Iskandar Puteri, Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memaklumkan kerajaan sedang melakukan persiapan untuk melaksana inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dengan dua negara iaitu Thailand dan Kemboja.

Ka Siong memberitahu, perkara itu sedang dibincangkan khususnya selepas kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan Kemboja, baru-baru ini.

Menurutnya, pelaksanaan VTL itu dijangka akan dapat dimulakan seawalnya pertengahan Mac ini.

“Selaku Menteri Pengangkutan, saya umumkan jemaah kabinet memang sudah membincangkan hasil lawatan Perdana Menteri ke dua-dua negara itu dan mereka sudah setuju untuk VTL dilaksanakan.

“Sekarang perbincangan sedang dibuat untuk menentukan penerbangan dan laluan mana yang akan digunakan untuk melaksana inisiatif berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheah Fah di Sunway City, di sini hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan VTL udara dengan kedua-dua negara itu kelak akan mengguna pakai model yang sama melibatkan pelaksanaan VTL udara antara Singapura dan Kuala Lumpur sebelum ini.

“Kedua-dua negara itu juga sudah maklumkan mereka tidak akan laksanakan kuarantin, tetapi untuk kemasukan ke Malaysia kita akan mengguna pakai template yang sama dengan VTL bersama Singapura.

“Hari ini, pihak Singapura juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan melaksanakan VTL udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” ujarnya.

Pada 25 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Malaysia bakal memulakan inisiatif VTL udara dengan Thailand dalam waktu terdekat ini ketika mengadakan kunjungan rasmi ke negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI