fbpx
Kebakaran di loji nuklear Zaporizhzhia dibimbangi boleh membawa kepada bencana nuklear sekiranya ia mengenai bahagian reaktor. – Mirror UK

Loji nuklear terbesar Eropah di Ukraine terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIEV – Satu kebakaran besar tercetus di loji nuklear terbesar Eropah di bandar Energodar, selatan Ukraine, di tengah-tengan pertempuran sengit antara tentera negara itu dengan Rusia di kawasan tersebut, lapor akhbar Mirror UK hari ini.

Keadaan itu dibimbangi boleh membawa kepada bencana nuklear sekiranya kebakaran mengenai bahagian reaktor.

Menurut laporan agensi berita RIA sebagai memetik kenyataan Kementerian Tenaga Atom Ukraine, unit penjanaan di loji nuklear Zaporizhzhia terjejas ketika serangan tentera Rusia selain sebahagian daripada stesen janakuasa itu turut terbakar.

“Pasukan bomba tidak dapat memulakan kerja-kerja memadam api di loji Zaporizhzhia kerana ia ditembak pada jarak dekat. Unit kuasa pertama sudah terjejas setakat ini,” kata kementerian.

Terdapat 15 reaktor nuklear di Ukraine dengan enam daripadanya terletak di loji Zaporizhzhia.

Sekiranya satu daripada reaktor tersebut terbakar, ia boleh mengakibatkan bencana di Eropah yang lebih buruk berbanding peristiwa letupan loji nuklear Chernobyl.

Menurut laporan sebelum ini, tentera Rusia telah mengepung Energodar, sebuah bandar yang terletak di sungai Dnieper. Bandar tersebut menyumbang kira-kira satu perempat daripada penjanaan kuasa di seluruh Ukraine.

Pegawai Ukraine berkata, tentera Vladimir Putin cuba mengambil alih bandar tersebut pada awal kelmarin dengan menggunakan kereta kebal. – AGENSI 

 

POPULAR